JULAU: Hasrat penduduk Rumah Malang Anggot untuk menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik akhirnya menjadi kenyataan apabila Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM230,000 bagi pembinaan jalan baharu sepanjang 1.09 kilometer di kawasan berkenaan.
Jalan tersebut dibina di bawah peruntukan Jabatan Pertanian Sarikei dengan tujuan memudahkan pergerakan serta pengangkutan hasil pertanian penduduk luar bandar, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin, berkata pelaksanaan projek itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan prasarana asas yang amat diperlukan oleh pekebun kecil di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, kemudahan jalan ladang memainkan peranan penting bagi melancarkan penghantaran komoditi pertanian seperti kelapa sawit, getah dan lada ke pasaran, selain mengurangkan kos operasi penduduk.
“Saya berharap kemudahan yang disediakan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk bagi merancakkan aktiviti ekonomi hiliran dan seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian jalan baharu berkenaan di Rumah Malang Anggot, semalam.
Rolland turut menegaskan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa peka terhadap keperluan rakyat dan berusaha memastikan tiada komuniti, khususnya di kawasan luar bandar, yang tercicir daripada arus pembangunan.
Sehubungan itu, beliau menyarankan penduduk supaya memanfaatkan sepenuhnya potensi tanah sedia ada untuk aktiviti pertanian secara komersial, di samping merebut peluang bantuan, insentif dan subsidi yang ditawarkan oleh Jabatan Pertanian serta agensi kerajaan berkaitan.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Bahagian Sarikei, Jessyca Andrew Mujah, berkata peruntukan yang disediakan kerajaan akan disalurkan kepada komuniti yang menunjukkan komitmen dan kesungguhan dalam memajukan sektor pertanian sebagai sumber ekonomi utama.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Brian Fung Kok Shiun, ketua-ketua kaum serta penduduk setempat yang menyambut baik pelaksanaan projek berkenaan.



