Jalan kami masih tenggelam

MUKAH: Penduduk di kawasan Tanjung Pedada menzahirkan kekecewaan apabila jalan utama yang menghubungkan penduduk ke kawasan luar dinaiki banjir dan terputus hubungan sejak 12 Januari lalu.
Menurut Tuai Rumah (TR), Mawar Awang berkata, mereka sudah memohon menaik taraf jalan di Tanjung Pedada yang mendap sepanjang 100 meter dan sehingga kini belum ada jawapan.
“Jalan utama di Nanga Tingkas Sebakong sudah tenggelam sehingga empat kaki dan kereta pancuan empat roda Hilux kini tidak lalu,” katanya kepada Suara Sarawak.
“Harapan kami supaya jalan ini segera dinaik taraf. Ia menjadi nadi kepada penduduk di 18 buah rumah panjang di sini.
“Musim banjir berlaku setiap tahun dan jalan ini tetap dilanda banjir sebagaimana yang berlaku kini,” jelasnya lagi.
Dedahnya lagi, jalan sejauh 100 meter tersebut penting untuk semua penduduk rumah panjang keluar membeli barang keperluan di bandar namun kini terputus sepenuhnya hubungan kerana banjir.
Difahamkan sehingga kini dianggarlan lebih 1,800 penduduk menetap di kawasan Tanjung Pedada Sebakong Mukah meliputi 18 panjang dan sebuah kampung.