ARTIKEL

Datuk Martin Ben berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi Jalan Penghubung Desa Kampung Mantung Mubuk-Kampung Mayang Kawan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup.

Jalan Penghubung Desa pemangkin perubahan ekonomi penduduk kampung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Pembinaan Jalan Penghubung Desa Kampung Mantung Mubuk-Kampung Mayang Kawan bakal menjadi pemangkin perubahan besar kepada penduduk sekitar dengan membuka lebih banyak peluang ekonomi serta mempercepat pembangunan sektor pertanian.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben berkata, projek berkenaan bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada tujuh kampung yang terlibat, malah turut memberi limpahan manfaat kepada beberapa kampung di kawasan Tebedu termasuk Lobang Batu dan kawasan sekitar Jalan Tebekang-Mongkos.

Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn (tengah, hadapan) bersama Datuk Martin Ben (empat kiri, hadapan) serta hadirin lain merakam gambar kenangan selepas Majlis Pecah Tanah Projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi Jalan Penghubung Desa Kampung Mantung Mubuk-Kampung Mayang Kawan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup.

Katanya, kemudahan jalan baharu itu akan memudahkan penduduk menjalankan aktiviti ekonomi, khususnya mengusahakan kebun dan membuka tanah pertanian yang masih luas di kawasan berkenaan.

“Jalan ini akan menjadi pemangkin perubahan di kawasan kita. Bukan sahaja melibatkan secara langsung tujuh kampung yang mempunyai kawasan tanah di sini, malah turut memberi manfaat kepada kampung-kampung di kawasan Tebedu.

“Dengan adanya jalan ini, penduduk akan lebih mudah menjalankan aktiviti harian mereka, terutama mengusahakan kebun dan membuka tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi Jalan Penghubung Desa Kampung Mantung Mubuk-Kampung Mayang Kawan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup, di sini, hari ini, yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn merangkap Pengerusi GKCDA.

Martin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup berkata, projek berkenaan turut membantu memendekkan perjalanan penduduk yang sebelum ini perlu menggunakan laluan lebih jauh menerusi Jalan Mentung-Mrau dan Jalan Tebekang-Mongkos dengan jarak keseluruhan melebihi 40 kilometer.

Katanya, jalan baharu sepanjang 8.716 kilometer itu akan menjadi laluan yang lebih mudah kepada penduduk dari Serian dan Muara Mongkos untuk ke kawasan pertanian serta menjalankan aktiviti harian.

“Dengan jalan ini, perjalanan akan menjadi lebih mudah dan cepat sama ada melalui Jalan Tebekang-Mongkos ataupun Jalan Mantung Mara-u,” ujarnya.

Menurut Martin, kawasan sekitar Kampung Mantung Mubuk dan Kampung Mayang Kawan sememangnya mempunyai aktiviti ekonomi yang rancak, terutama dalam sektor pertanian menerusi penglibatan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).

Katanya, terdapat tiga ladang kelapa sawit kendalian SALCRA, iaitu Ladang Kedup 1, Ladang Kedup 2 dan Ladang Mongkos dengan keluasan keseluruhan tidak kurang 5,000 hektar.

“Apabila jalan ini siap nanti, ia akan memberi banyak impak kepada sektor pertanian. Di sebelah sana juga terdapat Kilang Kelapa Sawit Sepom yang menerima banyak buah tandan segar.

“Dengan kemudahan jalan yang lebih baik, penghantaran hasil dapat dilakukan dengan lebih cepat dan ini boleh membantu meningkatkan kualiti serta hasil pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata, kawasan yang luas di sebelah kanan Batang Kedup mempunyai potensi besar untuk dibangunkan menerusi aktiviti pertanian, khususnya tanaman kelapa sawit dan komoditi lain.

Katanya, penduduk juga boleh mempertimbangkan kerjasama dengan pelabur bagi membangunkan tanah masing-masing agar terus produktif walaupun selepas mencapai usia persaraan.

Dalam pada itu, Martin turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung yang terlibat kerana memberi kerjasama kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), perunding dan kontraktor dalam pelaksanaan projek tersebut.

Katanya, persetujuan penduduk memberi laluan kepada kerja-kerja awal tanpa menunggu proses pampasan selesai membantu mempercepat pelaksanaan projek.

“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada semua kampung yang terlibat kerana memberikan kerjasama yang sangat baik.

“Mereka memahami mengapa jalan ini perlu dibina dan memberi kebenaran kepada agensi berkaitan untuk menjalankan kerja-kerja di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau turut menyeru ketua kampung dan masyarakat setempat agar terus memberi kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei dalam proses penilaian tanaman serta pampasan berkaitan.

Mengulas latar belakang projek itu, Martin berkata cadangan pembinaan jalan berkenaan bermula selepas penduduk berdepan kesukaran membawa hasil pertanian dan mendapatkan kemudahan asas kerana hanya bergantung kepada laluan sedia ada.

Katanya, sebelum ini penduduk perlu melalui perjalanan yang jauh untuk menghantar hasil pertanian ke kilang atau pasaran.

“Dengan siapnya jalan ini nanti, perjalanan akan menjadi lebih mudah, kualiti jalan juga lebih baik dan saya berharap pendapatan penduduk akan meningkat.

“Itulah yang kita mahukan. Apabila pendapatan bertambah, kehidupan rakyat juga akan menjadi lebih baik, termasuk kemampuan menghantar anak-anak ke tahap pendidikan yang lebih tinggi,” katanya.

Projek Jalan Penghubung Desa Kampung Mantung Mubuk-Kampung Mayang Kawan sepanjang 8.716 kilometer itu menelan kos RM32.8 juta dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan bermula Mei 2026 dan dijangka siap pada Mei 2028.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Patrick Stewart Meninggal Dunia

Dunia seni lakonan antarabangsa kehilangan seorang legenda apabila pelakon tersohor Britain, Sir Patrick Stewart, meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya di Los Angeles,

Tiga lelaki ditan

MUKAH: Tiga lelaki peranak menua beumur entara 24 nyentuk 26 taun ditan pengudah ditemu positif dadah bansa methamphetamine ba Operasyen Begulai Nagang Penyah t i