ARTIKEL

Jalur Gemilang bukan sekadar bendera, tapi simbol negara bangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar simbolik, malah satu seruan bersama bagi menyemarakkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia yang berdaulat dan merdeka.

Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata, Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan, perpaduan dan semangat negara bangsa yang wajar dijulang serta difahami maknanya oleh setiap rakyat Malaysia.

Menurutnya, segelintir masyarakat kini dilihat ‘mati rasa’ terhadap semangat patriotisme, khususnya dalam mengibarkan Jalur Gemilang kerana menganggapnya sekadar promosi kerajaan untuk menunjukkan sokongan rakyat.

“Setiap lorekan dan warna pada Jalur Gemilang membawa makna sejarah, prinsip kenegaraan dan nilai kehidupan bernegara. Ia adalah manifestasi kecintaan rakyat terhadap kemerdekaan yang diperoleh dengan penuh pengorbanan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, defisit patriotisme terutamanya dalam kalangan generasi baharu mungkin berpunca daripada kurangnya kefahaman sejarah serta tanggapan sempit bahawa kempen kibar Jalur Gemilang tidak memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.

Memahami bahawa perasaan patriotik tidak boleh dipaksa, Mohd Azhar mencadangkan supaya ia dipupuk menerusi pendekatan yang lebih relevan dan sesuai dengan kehendak semasa.

Antara pendekatan tersebut termasuklah penggunaan media sosial, penganjuran pertandingan inovasi berasaskan sejarah serta penglibatan komuniti setempat secara aktif.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM, berkata inisiatif “1 Rumah 1 Jalur Gemilang” sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM2025) berpotensi menyampaikan mesej patriotisme secara berkesan ke dalam jiwa rakyat.

Inisiatif yang mula diperkenalkan pada tahun lalu itu diteruskan tahun ini dengan penambahan dua kluster baharu, iaitu Industri dan Agensi Kerajaan, menjadikan keseluruhan tujuh kluster pelaksanaan.

Sebanyak 698 program berjaya dilaksanakan di bawah inisiatif tersebut pada tahun lalu, merangkumi lima kluster awal iaitu Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Kesihatan, Keselamatan dan Komuniti, bagi menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang di rumah, pejabat, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan kenderaan persendirian.

Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, kempen tersebut berpotensi menjadi pemangkin semangat kebangsaan jika dilaksanakan secara inklusif serta menyentuh hati rakyat.

“Kempen ini bukan sekadar menggantung bendera, sebaliknya menjadi titik mula perbualan tentang sejarah, nilai kebangsaan dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, penglibatan sektor pendidikan, industri dan komuniti mampu menjadikan mesej patriotisme lebih dekat dengan kehidupan rakyat, selain boleh diperkukuh melalui penggunaan teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan amalan harian yang membentuk akhlak warganegara.

“Menjadi warga yang faham, hormat dan menerima nilai identiti nasional serta menjaga akal budi sebagai insan budiman adalah asas patriotisme berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara,” katanya.

Tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” kekal sebagai tema sambutan HKHM2025, manakala logo Malaysia MADANI terus digunakan sebagai logo rasmi. Sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos, manakala sambutan Hari Malaysia pula akan berlangsung di Pulau Pinang pada 16 September ini.— BERNAMA

BERITA LAIN

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

BERITA TERBARU

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah