SIMANGGANG: Pembinaan Jambatan Batang Lupar di Sebuyau bukan sahaja meningkatkan akses jaringan jalan raya malah turut menyumbang kepada peningkatan populasi ikan terubuk di kawasan berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tiang jambatan menyediakan habitat dan sumber makanan tambahan yang membantu perkembangan serta pembiakan ikan berkenaan.
Menurutnya, peningkatan populasi ikan terubuk itu dikesan selepas Jambatan Batang Lupar Satu siap dibina, yang mempunyai lebih 50 tiang sokongan.
Struktur berkenaan secara tidak langsung mewujudkan persekitaran sesuai untuk pertumbuhan organisma akuatik yang menjadi sumber makanan ikan.
“Ini kerana Jambatan Batang Lupar Satu mempunyai lebih 50 tiang sokongan. Tiang-tiang ini secara tidak langsung menjadi habitat kepada organisma serta sumber makanan bagi ikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar Dua di sini, hari ini.
Perkembangan serupa turut dikesan di Sebuyau, manakala peningkatan populasi ikan juga dilaporkan di Batang Saribas.
Katanya, keadaan itu turut memberi manfaat kepada nelayan pesisir pantai kerana sumber makanan yang mencukupi membolehkan ikan hidup serta membiak dengan lebih baik di sungai.
Beliau turut menegaskan bahawa jaringan jalan raya yang baik penting untuk membuka kawasan baharu bagi aktiviti ekonomi, khususnya pembangunan pertanian dan pengeluaran makanan.
Menurutnya, kawasan dari Lingga, Simanggang hingga Sebuyau mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian, terutama bagi memperkukuh sekuriti makanan Sarawak.
Kerajaan Sarawak juga melabur dalam penyediaan infrastruktur sokongan, termasuk bekalan air dan elektrik, bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan berkenaan.
“Teknologi moden, termasuk penggunaan dron untuk aplikasi baja, turut diperkenalkan bagi meningkatkan produktiviti pertanian.
“Perkara kedua, apabila tanaman sudah membesar dan menghasilkan tuaian, kita mesti mempunyai saluran pemasaran yang teratur. Sama ada kita menanam jagung, nanas atau pisang, kita mesti mempunyai sistem untuk memasarkan dan menjual hasil pertanian tersebut,” katanya.
/tamat/


