KUCHING: Kuching City FC menghidupkan peluang mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Dua AFC (ACL2) selepas membenam pendahulu Kumpulan H, Phnom Penh Crown FC (PPCFC) 3-0 di Stadium Taha Ariffin, malam ini.
Kemenangan kedua The Cats dalam saingan kumpulan itu hadir menerusi jaringan Safawi Rasid pada minit ke-32, Jerome Etame Mpacko (75) dan Dylan Wenzel-Halls (90+1), sekali gus membolehkan mereka mengumpul tujuh mata daripada lima perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Kuching City melonjak ke tangga kedua kumpulan, hanya dua mata di belakang Phnom Penh Crown yang kekal mengumpul sembilan mata.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak bermula agresif apabila tandukan Ajdin Mujagic terkena tiang gol, sebelum jaringannya pada minit ke-11 hasil hantaran lintang Ariff Farhan dibatalkan kerana ofsaid.
Kuching City akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-32 menerusi rembatan menarik Safawi, namun penjaga gol Haziq Nadzli turut cemerlang menafikan percubaan berbahaya Moses Dyer enam minit kemudian.
The Cats mendominasi separuh masa pertama dengan 62 peratus penguasaan bola dan menghasilkan lima percubaan berbanding dua oleh pasukan pelawat, sekali gus membawa kelebihan 1-0 ke bilik persalinan.
Memasuki babak kedua, Phnom Penh Crown meningkatkan asakan untuk mencari gol penyamaan, namun pertahanan Kuching City kekal tersusun.
Safawi hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-60, tetapi rembatannya sekadar melepasi palang gol.
Percaturan Aidil memasukkan Etame dan João Pedro bagi menggantikan Safawi serta Declan Lambert pada minit ke-74 membuahkan hasil apabila Etame menyudahkan hantaran leret Ajdin seminit kemudian untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Kuching City kemudian melengkapkan kemenangan menerusi jaringan Wenzel-Halls pada minit ke-90+1, sekali gus menceriakan 2,684 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan itu.
Kemenangan tersebut menjadi bekalan penting buat The Cats menjelang aksi terakhir Kumpulan H menentang Kitchee SC di Hong Kong pada 3 Disember ini, dengan dua tempat teratas menjadi rebutan bagi menentukan kemaraan ke pusingan kalah mati.
l



