KUCHING: Pembaharuan kepimpinan politik tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah calon muda yang diketengahkan pada setiap pilihan raya, sebaliknya perlu mengambil kira keseimbangan antara pengalaman, kesinambungan kepimpinan dan kehendak pengundi.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata meskipun penampilan muka baharu penting bagi memastikan kelangsungan sesebuah parti, pengalaman pemimpin sedia ada masih diperlukan dalam mencorakkan hala tuju kepimpinan.
Namun, katanya, parti politik juga perlu peka terhadap sentimen pengundi dengan memberikan ruang kepada pembaharuan dalam setiap kitaran pilihan raya.
“Memang tiap-tiap pilihan raya mesti ada usaha untuk menampilkan muka-muka baharu, terutama sekali calon-calon muda. Kita kena hormat dengan rakyat pengundi.
“Rakyat tak dapat bertahan 10 tahun jika muka yang sama (dicalonkan),” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan watikah calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di sini, hari ini.
Abdul Karim yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya berkata peralihan generasi kepimpinan perlu berlaku secara berperingkat, dengan pemimpin yang telah lama berkhidmat atau merasakan sudah tiba masanya untuk berundur, memberikan laluan kepada generasi seterusnya.
“Tidak boleh semua anak muda, tidak boleh semua orang yang tidak ada pengalaman dan mungkin baru sepenggal ataupun dua penggal (menjadi ADUN). Tidak boleh juga semua veteran. Jadi, mesti ada campuran semuanya,” katanya.
Mengulas keputusan GPS mengetengahkan 11 muka baharu daripada keseluruhan 82 calon kali ini, Abdul Karim berkata jumlah yang lebih rendah berbanding PRN sebelumnya mungkin disebabkan bilangan calon yang perlu digantikan tidak sebanyak pilihan raya lepas.
Berhubung dengan persaingan di DUN Asajaya, beliau berkata jentera parti telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan menjelang hari penamaan calon, sambil menegaskan bahawa hak mana-mana pihak untuk bertanding perlu dihormati selaras dengan amalan demokrasi berparlimen.
“Kalau ada (persaingan), kita terima. Kalau tidak ada, pun kita terima,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Dis.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.
— BERNAMA

