DARO: Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer bernilai RM298.98 juta dijadual dibuka kepada pengguna jalan raya pada 30 Oktober ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo yang mewakili Timbalan Premier merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerja-kerja akhir projek berkenaan kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka diselesaikan dalam tempoh kira-kira tiga minggu.
“Pembukaan jambatan ini bakal memberi kemudahan perhubungan yang lebih baik kepada penduduk di kawasan Tanjung Manis, Pulau Bruit, Serdeng dan kawasan sekitarnya.
“Kerja-kerja akhir dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira tiga minggu sebelum jambatan ini dibuka kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyambungan Bongkah Terakhir Jambatan Batang Paloh, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, pembukaan jambatan ini juga menjadi satu lagi pencapaian penting Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kemudahan infrastruktur jalan raya.
Ujarnya, dengan adanya Jambatan Batang Paloh ini kelak, ia turut melengkapkan rangkaian perhubungan di antara Sarikei dengan Mukah yang kini semakin berkembang.
Dalam pada itu, Aidel memberitahu, beberapa jambatan utama sebelum ini seperti Jambatan Sejingkat, Batang Lassa, Igan dan Tuanku Haji Bujang dibuka kepada pengguna.
“Pembukaan jambatan-jambatan ini menyediakan lebih banyak pilihan laluan, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk di kawasan terbabit.
“Keseluruhan jaringan ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk serta menyokong pembangunan ekonomi kawasan terbabit untuk jangka panjang,” tambahnya.





