SEBAGAI anak jati Daro, saya tidak dapat menyembunyikan keterujaan apabila mendengar berita Jambatan Batang Paloh akhirnya siap dan mula dibuka kepada pengguna jalan raya pada 30 Oktober lalu.
Bagi segelintir orang, pembukaan sebuah jambatan mungkin sekadar satu lagi projek infrastruktur yang berjaya disiapkan.
Namun, bagi warga Daro, Pulau Bruit dan kawasan sekitarnya, kemudahan itu membawa makna yang jauh lebih besar kerana mengubah pengalaman perjalanan yang selama ini sinonim dengan penantian, kesabaran dan tempoh perjalanan yang panjang.
Sejak jambatan itu dibuka, media sosial dipenuhi perkongsian warga Daro yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraan mereka. Ada yang berkongsi pengalaman perjalanan dari Daro ke Sarikei yang kini dikatakan hanya mengambil masa kira-kira 40 minit.
Namun, sepert biasa, orang kita tidak pernah ketandusan cerita dan gurauan. Ada juga yang berseloroh, keluar perjalanan hanya mengambil masa 40 minit, bukan sahaja boleh sampai ke destinasi, malah kalau tidak berhati-hati, boleh sampai ke alam barzakh!
Gurauan itu mungkin kedengaran lucu, tetapi di sebaliknya terserah keterujaan penduduk yang sekian lama menantikan kemudahan perhubungan yang lebih baik.
Lebih mencuit hati, ada warga Daro yang sanggup memandu ke Sarikei semata-mata untuk mendapatkan secawan kopi sebelum pulang semula ke kampung halaman.
Bayangkan, dahulu perjalanan ke Sarikei memerlukan perancangan rapi dan masa yang panjang, tetapi kini ada yang boleh menjadikan perjalanan itu sekadar aktiviti santai untuk menikmati kopi.
Itulah perubahan yang sedang dirasai penduduk. Saya sendiri tidak sabar untuk pulang ke Daro dan merasa pengalaman menggunakan jambatan baharu itu.
Malah, apabila mengenangkan pengalaman pulang ke kampung sebelum ini, terasa begitu besar perubahan yang bakal dinikmati.
Sepupu saya yang baru-baru ini pulang dari Daro turut berkongsi perjalanannya mengambil masa kira-kira lima jam untuk sampai ke sana. Jika dibandingkan dengan pengalaman kami sekeluarga sebelum ini, tempoh perjalanan boleh mencecah 12 jam.
Memang benar, tempoh itu turut mengambil kira persinggahan untuk menggunakan tandas, membeli makanan dan berehat sepanjang perjalanan. Namun, hakikatnya, perjalanan pulang ke Daro bukan sesuatu yang mudah.
Malah, perjalanan pulang ke kampung memerlukan kesabaran yang tinggi, terutamanya ketika musim perayaan apabila jumlah kenderaan meningkat secara mendadak.
Saya masih ingat pengalaman pulang untuk menyambut Aidilfitri apabila terpaksa beratur menunggu feri sehingga kira-kira empat jam. Ada juga cerita penduduk yang terpaksa menunggu tujuh hingga lapan jam apabila keadaan terlalu sesak.
Bayangkan, selepas menempuh perjalanan jauh, kita masih perlu menghabiskan beberapa jam lagi untuk menunggu giliran menaiki feri.
Keadaan itu lebih mencabar apabila pulang pada Ramadhan. Cuaca panas, keadaan perut yang kosong dan keletihan akibat perjalanan jauh menjadikan pengalaman menunggu feri sesuatu yang kurang menyenangkan.
Namun, itulah realiti yang sekian lama dilalui warga Daro. Jika dahulu perjalanan ke Sibu dengan menaiki bot ekspres mengambil masa kira-kira dua jam 30 minit, manakala perjalanan ke Sarikei pula boleh mengambil masa sekitar dua jam, kini kehadiran rangkaian jalan raya dan jambatan baharu menyediakan pilihan perjalanan yang lebih mudah.
Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer yang dibina dengan kos RM298.98 juta itu menghubungkan Pulau Bruit dengan Tanjung Manis, sekali gus memanfaatkan kebergantungan kepada perkhidmatan feri di Batang Paloh.
Jambatan konkrit dua lorong itu dibina menggunakan kaedah julur selimbang (balanced cantilever) dan mempunyai 10 rentang sungai serta enam rentang pendekat.
Projek berkenaan turut merangkumi pembinaan jalan akses sepanjang 1.71 kilometer di sebelah Pulau Bruit dan 2.932 kilometer di sebelah Tanjung Manis.
Majlis prapembukaan jambatan itu disempurnakan oleh Timbalan Premier yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada 30 Oktober lalu.
Bagi saya, nilai sebenar jambatan ini bukan sahaja terletak pada panjangnya ataupun jumlah peruntukan yang dibelanjakan, tetapi juga pada masa yang dapat dijimatkan dan keseleasaan yang bakal dinikmati rakyat.
Bayangkan ibu bapa yang mahu membawa anak-anak mendapatkan rawatan, peniaga yang perlu menghantar barangan, pelajar yang berulang-alik serta penduduk yang mempunyai urusan di bandar berdekatan. Setiap minit yang dapat dijimatkan membawa makna tersendiri dalam kehidupan mereka.
Lebih penting, kemudahan ini berpotensi merancakkan kegiatan ekonomi di sepanjang koridor pembangunan pesisir Sarawak, termasuk sektor komersial, pertanian dan pelancongan.
Hubungan yang lebih dekat dengan Tanjung Manis serta akses ke pelabuhannya juga membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Sudah tentu, pembangunan tidak seharusnya terhenti setakat pembinaan jambatan. Kita berharap kemudahan jalan raya, perkhidmatan awam, peluang pekerjaan dan kemudahan asas di Daro serta Pulau Bruit terus dipertingkatkan seiring dengan pembangunan ini.
Sebagai anak jati Daro, saya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan pembinaan kemudahan berkenaan, termasuk penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Daro, Dr. Safiee Ahmad, yang sentiasa dekat dengan masyarakat.
Terima kasih juga kepada Kerajaan Sarawak atas usaha memperkukuh jaringan infrastruktur yang sekian lama menjadi keperluan penduduk di kawasan pesisir.
Saya percaya, bagi warga Daro, jambatan ini bukan sekadar laluan untuk pergi dan pulang. Ia menjadi penghubung antara keluarga, memudahkan urusan kehidupan serta membuka lembaran baharu kepada pembangunan kampung halaman.
Kini, apabila tiba Aidilfitri atau musim perayaan lain, mungkin kita tidak perlu lagi terlalu risau tentang barisan panjang ketika menunggu feri. Perjalanan pulang yang dahulu penuh cabaran kini tentu lebih dinantikan.
Saya sendiri sudah mula membayangkan perjalanan pulang ke Daro nanti. Tidak sabar rasanya hendak memandu merentasi jambatan itu, menikmati pemandangan sepanjang perjalanan dan akhirnya menjejaki kaki semula ke kampung halaman dengan lebih mudah.
Alhamdulillah, Daro semakin melangkah ke hadapan.
Semoga kemudahan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak pembangunan yang membawa manfaat kepada seluruh penduduk.
Kerana bagi anak perantau seperti saya, sejauh mana pun kita merantau, kampung halaman tetap menjadi tempat yang paling dirindui.
Dan kali ini, perjalanan untuk pulang ke Daro terasa lebih dekat.






