ARTIKEL

Muzium Mini Sapan Puloh penjaga warisan Melanau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MENEMPATKAN pelbagai khazanah warisan masyarakat Melanau yang diperturunkan daripada generasi ke generasi, Muzium Mini Sapan Puloh menjadi antara inisiatif untuk memelihara sejarah adat dan budaya masyarakat itu agar tidak dilupakan oleh generasi akan datang.

Muzium yang terletak di Kampung Telian Tengah ini diasaskan oleh pengurusnya, Tommy Black, berbekalkan minat mendalam terhadap bidang kebudayaan Melanau yang diceburinya sejak 36 tahun lalu, khususnya dalam tarian dan muzik tradisional.

Menurutnya, penubuhan muzium berkenaan tercetus daripada kebimbangan terhadap warisan budaya Melanau yang semakin kurang mendapat perhatian seiring dengan kemajuan masyarakat sehingga sebahagian generasi muda mula melupakan asal usul serta bahasa ibunda mereka.

“Hasrat untuk mewujudkan muzium sendiri timbul daripada keinginan memastikan khazanah peninggalan nenek moyang terus dipelihara dan dapat diperkenalkan kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

“Walaupun kecil, saya mahu muzium ini dipenuhi peninggalan teluhur Melanau supaya warisan yang ada tidak hilang begitu sahaja.

“Namun, untuk membina muzium, kita perlu mempunyai bahan pameran terlebih dahulu dan tanpa koleksi yang mencukupi, hasrat itu tidak mungkin dapat direalisasikan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Mengulas nama Sapan Puloh, beliau berkata, nama itu dipilih berdasarkan sejarah Kampung Telian Tengah yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Pulau, manakala perkataan “sapan” merujuk kepada tempat memproses batang rumbia untuk menghasilkan tepung sagu.

Gabungan kedua-dua perkataan itu bukan sahaja mempunyai nilai sejarah tersendiri, malah menjadi medium untuk memperkenalkan asal usul kehidupan masyarakat Melanau kepada pengunjung.

Tommy memberitahu, sekitar 90 peratus koleksi yang dipamerkan di muzium berkenaan terdiri daripada barangan warisan keluarga yang diterima daripada ibu bapanya.

Selebihnya diperoleh melalui usaha sendiri, termasuk pembelian barangan bagi melengkapkan koleksi pameran di muzium tersebut.

Berkongsi tentang sambutan pengunjung, beliau berkata, sejak dibuka secara rasmi pada 14 Julai 2012, muzium itu menerima sambutan yang menggalakkan, termasuk kunjungan kumpulan pelancong yang boleh mencecah 150 orang dalam satu-satu masa.

“Saya menerima pengunjung dari seluruh Malaysia dan pelbagai negara termasuk New Zealand, Singapura, United Kingdom, Australia, Brunei, Belanda, Belgium, Jepun, Thailand, Korea Selatan serta Jerman.

“Lebih istimewa, muzium ini turut menerima kunjungan anak kepada pegawai daerah pertama Mukah yang pernah berkhidmat di sini pada 1940.

“Saya amat gembira menerima kunjungan itu. Sekiranya mengetahuinya lebih awal, banyak perkara yang ingin saya tanyakan, terutamanya berkaitan dengan Mukah,” katanya lagi.

Selain itu, sebahagian pelancong asing mengetahui kewujudan muzium berkenaan menerusi media sosial seperti TikTok, perkongsian pengalaman pengunjung terdahulu serta kerjasama dengan penggiat industri pelancongan.

Antara keistimewaan muzium itu ialah pendekatan penerangan secara langsung kepada pengunjung, berbanding hanya mempamerkan barangan yang disertakan dengan maklumat bertulis.

Menurutnya, beliau akan menerangkan fungsi, sejarah dan kepentingan setiap barangan yang dipamerkan, selain menggalakkan sesi soal jawab bagi memastikan pengunjung lebih memahami budaya masyarakat Melanau.

“Minat sahaja tidak mencukupi. Kita perlu mempunyai pengetahuan supaya dapat menerangkan setiap bahan pameran dengan tepat kepada pengunjung.

“Selain pengetahuan, layanan mesra, budi bahasa dan sedikit gurauan juga penting supaya suasana lawatan lebih santai dan pengunjung berasa selesa,” jelasnya.

Pengalaman menerima kunjungan sekumpulan individu yang mengalami masalah penglihatan dari Singapura turut menjadi antara kenangan yang sukar dilupakan apabila beliau menggunakan pendekatan sentuhan dengan membenarkan mereka menyentuh barangan tertentu sambil menerangkan fungsinya.

Beliau juga pernah menerima kunjungan pelancong dari China yang berdepan dengan kekangan bahasa, sekali gus memerlukan penggunaan kaedah komunikasi alternatif seperti bahasa isyarat bagi menyampaikan penerangan.

Koleksi pameran di muzium berkenaan pula disusun mengikut tema, bermula dengan adat perkahwinan, busana tradisional, perubatan tradisional dan kehidupan nelayan, sebelum diakhiri dengan adat kematian masyarakat Melanau.

Susunan itu memudahkan Tommy menyampaikan penerangan secara teratur, sekali gus membantu pengunjung memahami perjalanan kehidupan masyarakat Melanau dari satu peringkat ke peringkat berikutnya.

Tommy berharap lebih banyak pihak dapat memberikan perhatian terhadap usaha yang dilaksanakan bagi memastikan Muzium Mini Sapan Puloh terus berkembang, termasuk menambah baik kemudahan dan prasarana di kawasan berkenaan.

Beliau turut berharap sumbangan serta pelibatannya dalam bidang kebudayaan selama 36 tahun mendapat pengiktirafan sewajarnya sebagai penghargaan terhadap usaha memelihara dan memperkenalkan warisan Melanau.

Tambahnya, pengiktirafan bukan matlamat utama perjuangannya, namun penghargaan terhadap individu yang telah lama berusaha membuka jalan dalam pemeliharaan budaya penting bagi memastikan sumbangan mereka tidak dilupakan.

Tommy turut menzahirkan penghargaan kepada wakil rakyat tempatan atas bantuan menyediakan kemudahan infrastruktur bagi menyokong usaha menaik taraf muzium berkenaan.

Muzium Mini Sapan Puloh dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang, namun akan ditutup sekiranya berlaku keadaan yang tidak dapat dielakkan.

Yuran kemasukan yang dikenakan ialah RM20 bagi pelancong bukan warganegara Malaysia, RM10 bagi pelancong tempatan serta pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, manakala RM5 bagi pelajar sekolah rendah dan menengah.

BERITA LAIN

Ancaman siber gugat bekalan makanan

DUNIA kini berhadapan dengan landskap keselamatan yang semakin tidak menentu apabila sekurang-kurangnya 33 negara dilaporkan menggalakkan rakyat masing-masing menyimpan bekalan makanan, air minuman dan barangan

ITOK FEST angkat bakat tempatan

KUCHING: terkenal sebagai antara destinasi hiburan yang menawarkan kepelbagaian genre muzik kepada pencinta muzik, malah mampu menarik kehadiran pengunjung dari luar bandar dan negeri untuk

BERITA TERBARU

Kuching City, JDT rebut juara Piala FA

KUCHING City FC akan menentang Johor Darul Ta’azim pada aksi final Piala FA 2026/27 pada 16 Januari 2027. KuchingvCity ke final setelah membenam Selangor FC