ARTIKEL

Gambar Fail

ITOK FEST angkat bakat tempatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: terkenal sebagai antara destinasi hiburan yang menawarkan kepelbagaian genre muzik kepada pencinta muzik, malah mampu menarik kehadiran pengunjung dari luar bandar dan negeri untuk merasai sendiri pengalaman menyaksikan persembahan secara langsung.

Setiap tahun, festival berteraskan muzik dan kebudayaan seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) turut menarik minat peserta serta pelancong dari seluruh dunia ke Sarawak, sekali gus membuktikan potensi negeri ini sebagai destinasi acara muzik bertaraf antarabangsa.

Seiring dengan perkembangan itu, ITOK FEST 2027 tampil dengan pendekatan tersendiri menerusi gabungan muzik dan budaya komuniti dalam festival bertemakan Festival Muzik dan Budaya Skena yang bakal berlangsung pada 30 Januari 2027 di pekarangan Stadium Sarawak, Petra Jaya.

Menghimpunkan barisan artis dari Malaysia dan Indonesia, festival itu menawarkan persembahan yang merangkumi genre Hipdut, Timurnesia, Koplo, Pop dan Ska, sekali gus memberikan pilihan muzik lebih pelbagai kepada peminat, khususnya golongan muda.

Pengarah Festival ITOK FEST, Salleh Mohidin berkata, pemilihan genre berkenaan bertujuan memperkenalkan aliran muzik yang masih kurang mendapat pendedahan serta platform persembahan berskala besar di Kuching.

“Kami melihat kepelbagaian genre muzik mempunyai potensi besar untuk menarik minat peminat muzik daripada pelbagai latar belakang.

“Oleh itu, ITOK FEST mengetengahkan genre muzik yang masih belum mendapat pendedahan meluas dan peluang untuk dipersembahkan di pentas berskala besar di Kuching,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Tambahnya, golongan Generasi Z menjadi sasaran utama festival berkenaan.

“Pemilihan genre muzik ini turut mengambil kira minat dan kecenderungan generasi muda, termasuk genre yang semakin popular di platform media sosial seperti TikTok.

“Pendekatan ini juga bertujuan memberikan ruang kepada golongan muda untuk mengekspresikan diri melalui muzik serta meraih kepelbagaian budaya muzik semasa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara artis yang bakal memeriahkan pentas ITOK FEST ialah Silet Open Up, Warga Koplo, NAKI, Robokop, Drasska, Ziji Q dan DJ Rocatz.

“Festival itu turut menampilkan Naykilla dan Dul Jaelani sebagai artis jemputan khas yang diumumkan kepada peminat.

“Alhamdulillah, pengumuman Naykilla sebagai artis jemputan khas menerima sambutan amat positif daripada orang ramai.

“Sejak pengumuman itu dibuat, jualan tiket turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Momentum itu berterusan apabila Dul Jaelani turut diumumkan sebagai salah seorang artis yang bakal membuat persembahan, sekali gus meningkatkan keterujaan dan minat orang ramai terhadap ITOK FEST,” tambahnya.

Beliau berkata, festival itu turut membuka ruang kepada bakat tempatan untuk membuat persembahan di pentas berskala besar dan memperkenalkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.

“ITOK FEST bersedia menjadi platform untuk mengangkat bakat serta memperkenalkan artis tempatan dengan memberikan mereka peluang membuat persembahan di pentas berskala besar.

“Antara artis tempatan Sarawak yang akan ditampilkan ialah NAKI, Ziji Q, Drasska dan DJ Rocatz,” katanya.

Tarikan festival itu turut diperkukuh menerusi kolaborasi muzik antara penyanyi rap Malaysia di bawah pengurusan Def Jam, SonaOne dengan Silet Open Up.

Menurut Salleh, kerjasama berkenaan bakal menjadi antara persembahan istimewa yang dinantikan peminat.

“SonaOne bakal berbandingan dengan Silet Open Up untuk mempersembahkan sebuah kolaborasi muzik yang dijangka menjadi antara tarikan istimewa festival ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ITOK FEST turut menggabungkan persembahan muzik dengan aktiviti yang membabitkan peminat dan komuniti setempat.

“Beberapa pengunjung terpilih akan diberikan peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan artis jemputan di atas pentas.

“Usahawan tempatan turut diberikan peluang untuk mempromosikan dan memasarkan produk masing-masing menerusi reruai ITOK FEST yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman serta hasil seni dan kraf tempatan,” tambahnya.

Menyentuh persiapan festival, Salleh berkata, segala perancangan kini berjalan mengikut jadual menerusi kerjasama pihak pengurusan lokasi, barisan artis, pasukan produksi dan kru yang terlibat.

“Setakat ini, segala persiapan berjalan mengikut perancangan. Pihak pengurusan lokasi, barisan artis, pasukan produksi dan kru memberikan kerjasama yang baik serta sentiasa berkomunikasi bagi memastikan setiap persiapan berjalan lancar.

“Kami amat teruja dan tidak sabar menantikan hari berlangsungnya acara serta bertemu dengan semua ITOK FESTIES, gelaran khas bagi peminat dan pengunjung ITOK FEST,” katanya.

Festival yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober lalu itu ditangguhkan kepada 30 Januari 2027 susulan keadaan jejerebu di Kuching.

Perubahan tarikh itu menyebabkan sebilangan pembeli tiket memohon bayaran balik kerana tidak dapat menghadiri acara berkenaan pada tarikh baharu.

Bagaimanapun, Salleh berkata, jumlah permohonan bayaran balik masih rendah, iaitu kurang daripada 10 peratus daripada keseluruhan tiket yang dijual.

“Cabaran utama yang dihadapi pihak penganjur adalah untuk menyelaraskan jadual semua artis jemputan, pihak pengurusan lokasi dan pasukan produksi.

“Setelah mengambil kira kesesuaian semua pihak, tarikh baharu yang dipersetujui bagi penganjuran ITOK FEST ialah 30 Januari 2027,” katanya.

Beliau berkata, penangguhan itu dibuat dengan harapan keadaan jejerebu akan bertambah baik menjelang Januari, sekali gus membolehkan festival berlangsung dalam suasana lebih selesa dan selamat.

“Sebagai langkah persediaan dan pencegahan, kami turut merancang untuk menyediakan pasukan perubatan yang akan bersiap sedia sepanjang acara berlangsung.

“Kami juga akan mengagihkan pelitup muka kepada pengunjung sebagai langkah berjaga-jaga,” ujarnya.

Dari segi keselamatan, beliau berkata, konsert itu menyasarkan kehadiran 3,000 pengunjung dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Persiapan keselamatan ITOK FEST melibatkan kerjasama semua pihak, bermula daripada penganjur hingga seluruh kru yang bertugas, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang festival berlangsung.

“Aspek kawalan orang ramai turut diberikan perhatian khusus menerusi perancangan lebih terperinci bagi memastikan pergerakan pengunjung terkawal dan berjalan lancar,” ujarnya.

Sementara itu, tiket kategori Early Bird Gold dan Silver habis terjual, manakala jualan tiket kategori Advance 1 masih diteruskan.

Tiket Gold ditawarkan pada harga RM128, Silver RM78 dan Super VVIP RM388, manakala kategori baharu untuk kanak-kanak berumur bawah lima tahun diperkenalkan pada harga RM48.

Semua harga tersebut tidak termasuk cukai dan caj perkhidmatan. Tiket Super VVIP pada harga berkenaan ditawarkan sehingga kuota 100 tiket habis dijual.

Salleh berkata, pihak penganjur turut menyasarkan kehadiran pengunjung dari luar Sarawak, termasuk Kalimantan Barat, Jakarta, Kuala Lumpur, Sabah dan Brunei bagi memeriahkan festival berkenaan.

“Dengan sasaran menarik pengunjung dari kawasan berkenaan, pihak penganjur percaya ITOK FEST berpotensi memberikan impak positif kepada sektor ekonomi dan pelancongan Sarawak.

“Hal ini khususnya melalui peningkatan kehadiran pelancong, aktiviti perniagaan tempatan serta promosi budaya dan kreativiti negeri ini,” katanya.

Justera, beliau berharap festival itu mendapat sokongan masyarakat setempat serta berpotensi berkembang menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan di Sarawak.

“Kami berharap ITOK FEST mendapat sambutan dan sokongan daripada seluruh lapisan masyarakat Sarawak serta pihak kerajaan,” katanya.

BERITA LAIN

Minat berenang teroka dunia marin

MEMILIH program pengajian yang sesuai bukan sahaja bergantung pada minat, tetapi juga keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu. Bagi pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi

Mahkota juara jadi rebutan

KEJOHANAN berprestij, Liga Lundu 2026, bakal melabuhkan tirai nya pada 14 November ini dengan juara edisi kali ini akan diketahui pada hari berkenaan. Perlawanan akhir

BERITA TERBARU

Kes diabetes di Sarawak semakin membimbangkan

MIRI: Peningkatan kes diabetes di Sarawak semakin membimbangkan apabila penyakit itu boleh mengundang komplikasi serius, termasuk kegagalan buah pinggang, sekali gus memerlukan masyarakat lebih mengutamakan

Sarawak dapat perhatian peringkat antarabangsa

MIRI: Sarawak semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa hasil pembangunan konsisten sektor infrastruktur, tenaga, teknologi dan modal insan, tanpa terlalu bergantung pada publisiti. Premier Datuk