KEJOHANAN berprestij, Liga Lundu 2026, bakal melabuhkan tirai nya pada 14 November ini dengan juara edisi kali ini akan diketahui pada hari berkenaan.
Perlawanan akhir akan menyaksikan pertembungan dua pasukan handalan, Bajo Mix FC menentang Fadzio FT, yang berjaya mara seperti yang diramalkan.
Kedua-dua pasukan itu mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir.
Bajo Mix FC memastikan tiket ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan Kesuka FC menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-3.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang masa permainan sebenar.
Sementara itu, Fadzio FT mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Sampadi FC dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Perlawanan antara Fadzio FT dengan Sampadi FC turut mencuri tumpuan apabila mendapat sokongan padu penyokong kedua-dua pasukan.
Kompleks Sukan Lundu bakal menjadi gelanggang pertembungan kedua-dua pasukan berkenaan pada aksi final kelak.
Dalam pada itu, Kesuka FC dan Sampadi FC akan membuat perhitungan bagi menentukan kedudukan tempat ketiga dan keempat pada tarikh yang sama.
Aksi dijangka berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan pastinya mahu menamatkan kempen dengan kemenangan.
Sementara itu, penyokong kedua-dua pasukan menjangkakan saingan sengit bakal berlangsung sepanjang perlawanan akhir nanti.
Tempoh rehat yang ada pastinya akan dimanfaatkan oleh pengendali kedua-dua pasukan untuk memperkemas jentera masing-masing bagi menghadapi aksi final.
Akhir sekali, peluang kedua-dua pasukan untuk muncul juara dilihat seimbang.
Kempen Liga Lundu 2026 menghimpunkan 16 pasukan keseluruhannya, dengan lapan pasukan mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.1 Opar dan lapan lagi dari DUN N.3 Tanjong Datu.
Hadiah wang tunai berjumlah RM9,700 disediakan untuk kejohanan musim ini.
Pasukan yang muncul juara bakal membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta piala pusingan, piala iringan dan pingat.
Naib juara pula akan menerima wang tunai RM3,000 berserta piala dan pingat, manakala pasukan di tempat ketiga bakal membawa pulang wang tunai RM1,000, piala dan pingat.
Pasukan yang menduduki tempat keempat pula akan menerima wang tunai RM700 berserta piala.
Selain itu, piala turut disediakan bagi kategori pemain harapan, pemain terbaik perlawanan akhir, penjaring terbanyak dan pasukan terbaik.
Penganjuran Liga Lundu 2026 bertujuan memberikan peluang kepada pemain yang terlibat untuk mengetengahkan bakat masing-masing.
Kejohanan ini juga dilihat bertepatan dengan usaha memperkasakan pembangunan sukan bola sepak, khususnya di kawasan DUN N.1 Opar dan N.3 Tanjong Datu.
Yang penting, menerusi kejohanan ini, bakat baharu dalam sukan bola sepak dapat dikenal pasti untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Kejohanan ini juga secara tidak langsung menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara semua pihak.
Selain itu, penganjuran aktiviti sukan mampu memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.






