ARTIKEL

Trauma setiap kali terbang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pernahkah anda berasa gementar setiap kali menaiki kapal terbang, meskipun sudah berkali-kali melalui pengalaman penerbangan? Jika ditanya kepada saya, jawapannya sudah tentu ya.

Anehnya, perasaan itu tidak pernah hilang. Setiap kali melangkah masuk ke dalam pesawat, ada sahaja perkara yang bermain dalam fikiran, seolah-olah saya sedang menunggu sesuatu yang buruk berlaku.

Beberapa hari sebelum tarikh penerbangan, saya biasanya mula berasa gelisah. Fikiran tidak pernah benar-benar tenang.

Sesekali, saya akan membayangkan keadaan kapal terbang ketika berada di udara, memikirkan kemungkinan cuaca buruk dan tertanya-tanya sama ada perjalanan kali ini akan berjalan lancar atau sebaliknya.

Walaupun penerbangan merupakan antara pengangkutan paling selamat untuk perjalanan jarak jauh, pengetahuan itu tidak semestinya mampu menghilangkan rasa takut.

Ada ketikanya, logik akal gagal memujuk emosi, apatah lagi apabila seseorang pernah melalui pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam.

Bagi saya, antara perkara yang paling mencetuskan kegelisahan ialah turbulens atau gelora udara.

Setiap kali kapal terbang mula bergoncang, jantung saya seakan-akan berhenti seketika. Mata mula memperhatikan keadaan sekeliling, tangan spontan memegang tempat letak tangan dan fikiran mula memikirkan pelbagai kemungkinan.

Berdasarkan pengalaman sendiri, saya lebih selesa menaiki penerbangan seawal jam 7.00 pagi.

Entah mengapa, penerbangan pada waktu itu sering memberikan pengalaman yang lebih menenangkan. Sebaliknya, penerbangan pada sebelah petang atau malam membuatkan saya lebih mudah berasa bimbang, khususnya apabila kapal terbang mula berhadapan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Namun, ada satu pengalaman yang sehingga hari ini masih segar dalam ingatan dan mungkin menjadi punca utama saya mengalami ketakutan setiap kali menaiki kapal terbang.

Kejadian itu berlaku pada 2014 ketika saya bersama-sama keluarga bergecut ke Bali, Indonesia.

Pada awalnya, perjalanan penerbangan berjalan seperti biasa. Tiada apa-apa yang mencurigakan sehingga pesawat menghampiri destinasi dan hanya kira-kira 15 minit lagi sebelum mendarat.

Tiba-tiba, pesawat kami mengalami gegaran yang sangat kuat. Jika hendak digambarkan, keadaannya seolah-olah sebuah kenderaan sedang melalui gempa bumi.

Badan kapal terbang bergoncang dengan begitu hebat sehingga saya sendiri sukar untuk duduk dengan tenang.

Ketika itu, saya hanya mampu bersyukur kerana memakai tali pinggang keledar. Jika tidak, entah bagaimana keadaan saya apabila badan terbangkit akibat gegaran tersebut.

Lebih mencemaskan, ruang penyimpanan bagasi di bahagian atas tempat duduk turut terbuka sehingga beberapa beg jatuh ke bawah.

Suasana di dalam kapal terbang ketika itu sukar digambarkan. Penumpang menunjukkan reaksi cemas, manakala saya sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan selain berdoa agar semuanya berakhir dengan selamat.

Ketika kapal terbang semakin menghampiri landasan, saya sempat memperhatikan keadaannya yang seakan-akan tidak stabil. Dalam hati, saya terus berharap agar kapal terbang dapat mendarat secepat mungkin.

Namun, yang berlaku selepas itu benar-benar membuatkan saya semakin panik. Bukannya mendarat, kapal terbang tiba-tiba menaik semula ke udara.

Saya tertanya-tanya, mengapa kapal terbang tidak meneruskan pendaratan? Adakah sesuatu yang tidak kena? Mengapa juruterbang membuat keputusan sedemikian ketika kami sudah begitu hampir dengan landasan?

Tidak lama kemudian, kapten kapal terbang membuat pengumuman bahawa pendaratan terpaksa dibatalkan berikutan keadaan angin yang terlalu kuat dan tidak selamat untuk meneruskan pendaratan.

Rupa-rupanya, juruterbang mengambil keputusan untuk melakukan prosedur go-around, iaitu membatalkan percubaan pendaratan dan membawa kapal terbang naik semula sebelum mencuba sekali lagi apabila keadaan lebih sesuai.

Pesawat kemudian berlegar-legar di udara kira-kira 15 minit sebelum akhirnya kembali membuat percubaan pendaratan. Alhamdulillah, kali ini kapal terbang berjaya mendarat dengan selamat.

Walaupun perjalanan itu berakhir tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini, pengalaman berkenaan meninggalkan kesan yang cukup mendalam. Sejak hari itu, setiap kali menaiki kapal terbang, ingatan saya pasti kembali kepada kejadian di Bali.

Bunyi enjin, gegaran kecil, perubahan pergerakan kapal terbang dan pengumuman daripada kapten kadangkala cukup untuk membuatkan fikiran saya kembali kepada detik mencemaskan tersebut.

Malah, apabila lampu tanda memakai tali pinggang keledar dinyalakan, saya akan mula bersedia menghadapi kemungkinan kapal terbang bergoncang.

Hakikatnya, saya sedar bahawa juruterbang dan kru kabin dilatih untuk menghadapi pelbagai situasi kecemasan.

Saya juga tahu turbulens tidak semestinya menandakan kapal terbang berada dalam bahaya. Namun, pengalaman yang pernah dilalui membuatkan saya sukar untuk mengawal perasaan sendiri.

Hari ini, saya sekali lagi akan menaiki pesawat untuk penerbangan ke Kuching. Seperti biasa, perasaan gementar itu hadir, meskipun perjalanan udara bukanlah sesuatu yang asing bagi saya.

Saya berharap penerbangan kali ini berjalan lancar, cuaca berada dalam keadaan baik dan pesawat mendarat dengan sempurna.

Kepada anda yang membaca kolum ini, doakanlah agar perjalanan saya dipermudahkan.

Kadangkala, bagi seseorang yang pernah melalui pengalaman mencemaskan di udara, sebuah penerbangan yang tenang dan pendaratan yang sempurna sudah cukup menjadi satu nikmat yang amat besar.

BERITA LAIN

Bijak belum tentu kebal penipuan

KEBIJAKSANAAN, pendidikan tinggi dan pengalaman hidup sering dianggap sebagai benteng yang mampu melindungi seseorang daripada menjadi mangsa penipuan. Namun, apabila emosi dipermankan, individu yang paling

Anak cerminan didikan

SOALAN: Adakah wajar mengatakan sesebuah generasi sebagai generasi yang lemah? JAWAPAN: Pada asasnya, kita tidak sepatutnya mudah melabel atau menganggap sesebuah generasi sebagai generasi yang

BERITA TERBARU

Trauma penderaan imej janaan AI

MELBOURNE: Kira-kira satu daripada 15 orang dewasa di Australia, Britain dan Amerika Syarikat (AS) pernah mengalami penderaan berasaskan imej janaan kecerdasan buatan (AI), menurut satu

Pelaburan tenaga perlu pulangan saksama

KUALA LUMPUR: Projek intensif tenaga perlu dinilai bukan hanya berdasarkan nilai pelaburan, malah dari segi kesiapsiagaan infrastruktur, kecekapan tenaga, penyertaan pembekal tempatan, pembangunan kemahiran dan