MEMILIH program pengajian yang sesuai bukan sahaja bergantung pada minat, tetapi juga keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Bagi pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Marin Lestari ini, Nadhirah Haliah, 23, minat awal terhadap aktiviti berenang mendorongnya memilih program berkenaan.
Pada mulanya menarik perhatiannya kerana aktiviti berenang akhirnya membuka peluang untuk mempelajari pelbagai perkara berkat laut.
Bagi Nadhirah, program berkenaan bukan sekadar memberikan ilmu akademik, malah menjayanya untuk lebih berani mencuba perkara baharu.
Ikuti perkongsian Nadhirah mengenai pengalaman, cabaran dan ilmu yang diperoleh sepanjang mengikuti program Teknologi Marin Lestari di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
1. Mengapa anda memilih program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Marin Lestari?
Saya tertarik untuk mengetahui terdapat aktiviti berenang dalam pengajian. Program ini menarik kerana bukan sahaja melibatkan pembelajaran di dalam kelas, malah turut merangkumi pelbagai aktiviti amali dan aktiviti di laut. Jadi, program ini lebih menyorokkan dan berbeza daripada program lain.
2. Apakah perkara paling menarik yang dipelajari dalam program ini?
Aktiviti menyelam kerana sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk belajar menyelam. Saya juga suka mempelajari akuakultur, pemetaan laut, arah angin dan perkara berkaitan keadaan laut. Banyak perkara yang kelihatan mudah, tetapi sebenarnya merupakan ilmu baharu bagi saya apabila mempelajarinya dalam program ini.
3. Kemahiran paling berguna yang anda peroleh?
Akuakultur dan menyelam antara kemahiran yang paling berguna bagi saya. Dalam bidang akuakultur, saya belajar cara menternak dan menjaga ikan.
Kami juga pernah menjalankan projek kecil menggunakan ikan patin Siang. Bagi aktiviti menyelam, saya telah memperoleh lesen menyelam peringkat air terbuka. Jadi, kedua-dua kemahiran ini merupakan pengalaman yang boleh saya manfaatkan sepanjang hayat.
4. Boleh kongsikan cabaran terbesar sepanjang mengikuti program ini?
Berhadapan dengan laut kerana saya sememangnya takut akan laut. Memandangkan program ini banyak melibatkan aktiviti di laut, saya perlu membiasakan diri.
Lebih-lebih lagi ketika mengikuti latihan untuk mendapatkan lesen menyelam. Ketika itu, saya sangat takut dan gementar sehingga saya perlu menenangkan diri terlebih dahulu sebelum menyelam. Namun, akhirnya saya berjaya dan menyedari bahawa sebenarnya saya mampu melakukannya.
5. Adakah perkara yang dipelajari sama seperti yang dibayangkan sebelum memasuki universiti?
Kebanyakannya sama. Sebelum memasuki universiti, saya sudah cuba mendapatkan maklumat tentang program ini melalui blog dan Facebook.
Pelajar senior serta alumni juga berkongsi pengalaman mereka, jadi saya sudah mempunyai sedikit gambaran tentang program ini. Kini, program ini juga aktif dipromosikan melalui media sosial, terutama TikTok, yang membolehkan pelajar berminat melihat sendiri aktiviti yang dijalankan.
6. Jika diberi peluang memilih semula, adakah anda akan memilih program yang sama?
Sudah tentu. Saya sangat menikmati pengalaman sepanjang mengikuti program ini kerana pembelajaran bukan sahaja berlangsung di dalam kelas. Kami juga menyertai banyak lawatan lapangan dan aktiviti luar. Antaranya aktiviti turun ke laut untuk menjalankan pemasapan serta lawatan ke Langkawi. Banyak pengalaman dan kenangan yang saya peroleh sepanjang pengajian.
7. Boleh kongsikan satu pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang mengikuti program ini?
Antaranya ketika mengikuti latihan untuk mendapatkan lesen menyelam. Saya memang takut akan laut, jadi ketika pertama kali menyelam, saya sangat gementar dan perlu menenangkan diri sebelum turun ke air.
Namun, selepas berjaya menamatkan latihan dan memperoleh lesen menyelam peringkat air terbuka, saya berasa sangat lega dan bangga. Pengalaman itu mengajar saya untuk lebih berani dan percaya kepada diri sendiri.
8. Nasihat anda kepada pelajar yang berminat mengikuti program ini?
Jika berminat, saya mencadangkan mereka mempunyai asas dalam bidang sains kerana sepanjang pengajian, pelajar akan mempelajari Biologi, Kimia dan Fizik. Kami juga mempelajari anatomi, menjalankan eksperimen serta mengenalisa haiwan laut.
Namun, jika tidak mempunyai asas sains, jangan takut untuk mencuba. Perkara yang penting ialah berfikiran terbuka, rajin belajar dan tidak takut mencuba perkara baharu.
9. Harapan anda terhadap program ini?
Saya berharap program ini akan terus ditawarkan dan lebih ramai orang mengetahui kewujudannya. Program ini sebenarnya mempunyai skop yang luas dan bukan hanya berkaitan dengan haiwan laut atau hidupan marin.
Kami turut mempelajari logistik, pengurusan, perkapalan, pengurusan sebelum dan selepas tuaian, akuakultur, hidrografi, kelangsungan hidup di laut, teknik perikanan, penderiaan jauh dan banyak lagi.
10. Selepas tamat pengajian, bagaimana anda mahu menggunakan ilmu yang diperoleh?
Saya berharap dapat menggunakan ilmu yang dipelajari untuk menyumbang kepada masyarakat dan alam sekitar. Saya berminat dalam bidang yang melibatkan haiwan terancam dan pemuliharaan, seperti penyu dan ikan lumba-lumba.
Selain itu, saya juga mahu terlibat dalam usaha menangani isu pencemaran air dan spesies invasif. Saya berharap ilmu yang diperoleh bukan sekadar untuk mendapatkan ijazah, tetapi juga dapat dimanfaatkan demi kebaikan alam sekitar dan masyarakat.






