DUNIA kini berhadapan dengan landskap keselamatan yang semakin tidak menentu apabila sekurang-kurangnya 33 negara dilaporkan menggalakkan rakyat masing-masing menyimpan bekalan makanan, air minuman dan barangan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan berlakunya situasi kecemasan.
Pada masa sama, beberapa negara Eropah baru-baru ini mengalami serangan siber terhadap sistem penyeluk pasar raya, sekali gus membulkan persoalan mengenai tahap keselamatan infrastruktur makanan dunia.
Menurut laporan antarabangsa yang diterbitkan pada awal November ini, saranan persediaan kecemasan tersebut melibatkan negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Perancis, Sweden, Norway, Jepun, Kanada dan beberapa negara lain.
Walaupun tempoh penyimpanan bekalan berbeza mengikut negara, mesej yang disampaikan adalah hampir sama, iaitu memastikan isi rumah mampu meneruskan kehidupan sekiranya bekalan elektrik, air, komunikasi atau pengedaran makanan terganggu.
Di Eropah, Suruhanjaya Eropah memperkenalkan strategi kesiapsiagaan sejak Mac 2025 dengan menggalakkan penduduk menyediakan bekalan kecemasan sekurang-kurangnya untuk tempoh 72 jam.
Sweden dan Norway pula mengesyorkan persediaan sehingga seminggu, manakala Jerman menekankan kepentingan bekalan asas untuk kegunaan sehingga 10 hari.
Langkah tersebut mencerminkan perubakan pendekatan keselamatan negara yang kini tidak lagi terpumpu kepada kekuatan ketenteraan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi keselamatan makanan, tenaga, teknologi dan keupayaan masyarakat menghadapi gangguan perkhidmatan penting.
Ancaman terhadap bekalan makanan
Kebimbangan mengenai keselamatan makanan semakin mendapat perhatian apabila serangan siber dilaporkan melanda sistem penyeluk pasar raya di beberapa negara Eropah pada 2 November lalu.
Menurut laporan Reuters, AFP dan media antarabangsa, penggodam dipercayai berjaya mengubah tetapan suhu peti sejuk serta peti pembeku yang disambungkan kepada Rangkaian Internet. Dalam beberapa kejadian, suhu peralatan meningkat sehingga mencecah 50 darjah Celsius, menyebabkan makanan rosak dan terpaksa dilupuskan.
Setakat 3 November lalu, AFP melaporkan sekurang-kurangnya 11 negara Eropah terjejas, termasuk Belgium, Sweden, Luxembourg, Itali, Jerman, Romania dan United Kingdom. Insiden tersebut menyusul serangan serupa terhadap ratusan pasar raya di Perancis pada Oktober lalu.
Perkembangan itu memperlihatkan bagaimana serangan siber bukan sahaja mampu mengganggu sistem perbankan, komunikasi atau pentadbiran kerajaan, malah turut boleh menjejaskan penyimpanan dan pengedaran makanan.
Lebih membimbangkan, sistem rantaian bekalan makanan moden sekarang bergantung pada teknologi digital, termasuk pengurusan gudang, pengangkutan berpendingin, pemantauan inventori dan pembayaran elektronik.
Sekiranya kelemahan keselamatan teknologi ini dieksploitasi secara meluas, gangguan terhadap satu komponen penting berpotensi membulkan kesan berantai kepada operasi perniagaan, pembaziran makanan, kos logistik dan kestabilan harga.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Eropah masih menyiasat identiti serta motif pelaku serangan tersebut. Setakat ini, belum ada bukti kukuh bahawa semua insiden berkenaan dilakukan oleh kumpulan sama atau merupakan sebahagian daripada operasi yang diselaraskan oleh sesebuah negara.
Mengapa banyak negara mula galak simpan makanan?
Terdapat beberapa faktor yang boleh menjelaskan peningkatan perhatian terhadap kesiapsiagaan awam.
Pertama, ketegangan geopolitik dan konflik bersenjata berpotensi mengganggu perdagangan antarabangsa, khususnya penghantaran makanan, bahan api dan barangan strategik.
Kedua, perubahan iklim meningkatkan risiko kejadian cuaca ekstrem seperti banjir, kemarau dan ribut yang boleh menjejaskan pengeluaran pertanian serta sistem pengangkutan.
Ketiga, perkembangan teknologi digital mewujudkan bentuk kerentanan baharu apabila infrastruktur penting semakin saling berhubung melalui Internet.
Keempat, pengalaman pandemik COVID-19 memperlihatkan gangguan rantaian bekalan boleh berlaku dengan pantas apabila perniagaan melihat permintaan meningkat secara mendadak atau pergerakan barangan menghadapi sekatan.
Bagaimanapun, angka 33 negara tersebut perlu ditafsirkan dengan berhati-hati. Angka itu merangkumi panduan kecemasan yang dikeluarkan pada masa berlaian, bukannya satu pemunguman bersama oleh 33 pemimpin dunia mengenai ancaman yang bakal berlaku. Oleh itu, saranan menyimpan makanan tidak sewajarnya dianggap sebagai bukti bahawa peperangan dunia atau krisis makanan global akan berlaku dalam masa terdekat.
Apakah implikasinya terhadap Malaysia?
Walaupun insiden terbaharu berlaku di Eropah, Malaysia tidak boleh memandang ringan perkembangan ini kerana ekonomi negara mempunyai hubungan rapat dengan sistem perdagangan dan bekalan antarabangsa.
Sebagai ekonomi terbuka, Malaysia terdedah kepada perubahan harga komoditi, kos pengangkutan, gangguan logistik dan ketidaktentuan pasaran global. Sekiranya serangan siber terhadap infrastruktur makanan semakin meluas, risiko yang perlu diberi perhatian bukan sekadar kehilangan data atau kerugian kewangan, tetapi juga kemungkinan berlakunya gangguan terhadap operasi pengedaran makanan dan perkhidmatan asas.
Dari perspektif ekonomi, gangguan bekalan yang berpanjangan boleh meningkatkan kos pengeluaran dan pengedaran. Keadaan ini berpotensi mencetuskan inflasi tolakan kos, khususnya apabila peningkatan kos logistik dan penyimpanan dipindahkan kepada pengguna.
Bagi Malaysia, perkembangan tersebut memperlihatkan kepentingan memperkukuh keselamatan siber dalam sektor makanan, mempelbagaikan sumber import, meningkatkan pengeluaran makanan domestik serta memastikan sistem pengedaran mempunyai pelan kesinambungan operasi yang berkesan.
Pada peringkat isi rumah pula, penyimpanan bekalan makanan asas untuk beberapa hari boleh dianggap sebagai langkah pengurusan risiko yang munasabah, terutamanya bagi menghadapi banjir, gangguan bekalan elektrik atau masalah bekalan air. Namun, masyarakat tidak seharusnya melakukan pembelian panik kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan kekurangan bekalan sementara di pasaran dan meningkatkan tekanan terhadap harga barangan.
Perkembangan di Eropah memberikan pengajaran penting bahawa konsep keselamatan negara pada abad ke-21 semakin kompleks. Keselamatan bukan lagi sekadar bergantung pada kemampuan mempertahankan sempadan negara, tetapi turut melibatkan keupayaan memastikan bekalan makanan, air dan tenaga serta sistem komunikasi dan perkhidmatan digital terus berfungsi ketika krisis berlaku.
Dalam konteks ini, gesaan beberapa kerajaan supaya rakyat menyimpan bekalan kecemasan wajar dilihat sebagai sebahagian daripada usaha membina daya tahan masyarakat, bukannya semata-mata petanda bahawa dunia sedang menuju ke arah peperangan. Serangan siber terhadap pasar raya di Eropah pula menunjukkan kelemahan sistem digital boleh mendatangkan kesan fizikal yang nyata, termasuk kerosakan makanan dan gangguan operasi perniagaan.
Persoalan utama bukanlah sama ada dunia pasti menghadapi krisis besar dalam masa terdekat, tetapi sejauh mana kerajaan, sektor perniagaan dan masyarakat bersedia sekiranya gangguan tersebut benar-benar berlaku.
Bagi Malaysia, mesejnya jelas, iaitu keselamatan makanan, ketahanan ekonomi dan keselamatan siber perlu diberikan perhatian secara bersepadu bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan global.
• Penulis ialah Pensyarah Ekonomi Universiti Teknologi Sarawak






