MIRI : Kerajaan Sarawak bakal menggantikan dan membina semula jambatan serta pembetung yang rosak di sepanjang bekas jalan balak di kawasan pedalaman Baram, sebagai sebahagian usaha membuka semula akses penting kepada penduduk luar bandar.
Pengarah Hutan Sarawak, Datuk Hamden Mohammad berkata, inisiatif itu dibincangkan dalam mesyuarat susulan yang diadakan bagi meneliti pelaksanaan cadangan terdahulu yang telah diketengahkan pada 28 Mei lalu.
“Cadangan memberi tumpuan kepada jambatan kayu uzur berukuran tidak melebihi 30 meter yang akan diganti menggunakan struktur galang keluli bergulung (RSJ), manakala pembetung pula dicadangkan dibina semula menggunakan paip jenis polietilena berketumpatan tinggi (HDPE).
“Projek ini dilaksanakan menerusi pendekatan Public-Private Partnership (PPP), dengan kos ditanggung bersama oleh agensi kerajaan dan syarikat konsesi balak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam mesyuarat yang dipengerusikannya di Pejabat Hutan Wilayah Miri di sini hari ini.
Pelaksanaan inisiatif ini bukan sahaja menyokong dasar Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), malah mampu membawa kesan positif terhadap pembangunan fizikal dan sosioekonomi penduduk pedalaman.
Mesyuarat ini turut bersetuju agar semua agensi kerajaan berkongsi maklumat terkini mengenai senarai jambatan dan pembetung yang rosak di Bahagian Miri, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri akan menyediakan anggaran kos keseluruhan pelaksanaan.
Difahamkan mesyuarat susulan juga akan diadakan dalam masa terdekat bagi memuktamadkan pelaksanaan bersama pemegang taruh.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap ADUN Mulu, Datuk Gerawat Gala, ADUN Telang Usan, Datuk Dennis Ngau, Residen Bahagian Miri, Galong Luang serta wakil pelbagai agensi kerajaan negeri.



