Jambatan yang bakal melakar sejarah sebagai jambatan kabel tertinggi negara kini fersergam indah dan boleh dilihat dengan jelas apabila berada di pekarangan Tebingan Simanggang.
Dikenali sebagai Jambatan Batang Lupar 2, jambatan yang dilaporkan berketinggian 145.5 meter dan sepanjang 870 meter itu dilihat hampir siap, namun bahagian tengahnya masih belum bersambung.
Sudah pasti pembukaan jambatan itu kelak akan menjadi tarikan utama kepada pengunjung yang berkunjung ke Simanggang, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi di kawasan tersebut.
la akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi penduduk setempat, terutama dalam sektor pertanian, perladangan dan promosi hasil laut tempatan yang sememangnya menjadi sumber rezeki penduduk di kawasan berdekatan, khususnya di Betong dan Simanggang.
Jarak antara Simanggang dengan Betong yang semakin dekat berikutan pembinaan jambatan tersebut akan menghidupkan aktiviti harian, terutama di kawasan pesisir yang menjadi fokus utama pembangunan Kerajaan Sarawak.
Bukan sahaja penduduk tempatan, malah orang luar yang berkunjung ke Tebingan Simanggang turut terpesona melihat struktur jambatan tersebut walaupun belum siap sepenuhnya.
Pemandangan di kawasan sungai itu jelas menampilkan. jambatan yang tersergam indah berhampiran Kampung Hilir, Sri Aman.
Orang ramai yang berkunjung ke Tebingan Simanggang kini dapat melihat dengan jelas
kelibat jambatan tersebut, berbanding dahulu yang hanya memperlihatkan aliran Sungai Batang Lupar, lokasi tumpuan Pesta Benak yang diadakan setiap tahun.

Dengan adanya jambatan itu kelak, Pesta Benak Simanggang pasti menjadi lebih meriah dengan kehadiran pengunjung dari pelbagai kawasan sekitar.
Selain itu, mereka akan lebih mudah ke lokasi berkenaan kerana jarak ke Simanggang tidak lagi menjadi halangan kepada penduduk dari kawasan yang lebih jauh.
Salah seorang pengunjung, Angela Anthony, 46, merupakan antara individu yang ditemui bersama-sama keluarganya di lokasi tersebut ketika penulis dan beberapa petugas lain merakam gambar jambatan di Tebingan Simanggang baru-baru ini.
Menurut Angela, beliau tidak menyangka projek pembinaan jambatan tersebut berkembang begitu pesat sehingga jelas kelihatan dari tebingan berkenaan, sekali gus menjadikannya antara jambatan ikonik di Malaysia.
“Saya bukan orang sini (Simanggang) dan boleh dikatakan jarang berkunjung ke sini, namun kebetulan mempunyai tugasan di sini. Hal ini menyebabkan saya dan keluarga mengambil kesempatan untuk berkunjung sambil menikmati suasana di tebingan.
tersebut.” “Alangkah terkejutnya saya apabila melihat sebuah jambatan yang menarik dan jelas kelihatan dari kawasan tebingan tersebut.
“Jika tidak silap, kali terakhir saya berkunjung ke sini, kami hanya melihat patung buaya di tebingan, tetapi kali ini terdapat kelainan apabila jambatan tersebut kelihatan cantik,” katanya.

Selain itu, pengunjung dari Kuching, Stanly Jeffry, 31, turut menyatakan beliau terkejut melihat keindahan jambatan yang bakal menjadi sejarah bukan sahaja bagi warga Simanggang, malah dijangka mencatat rekod sebagai jambatan kabel tertinggi di Malaysia.
Dalam pada itu, beliau yakin pembinaan jambatan tersebut mampu memajukan Simanggang dalam sektor ekopelancongan, sekali gus menjadikannya lokasi menarik untuk dikunjungi di Sarawak.
“Perjalanan dari Kuching ke Sri Aman kini lebih lancar berbanding dahulu yang mengambil masa agak lama berikutan keadaan jalan yang kurang baik.
“Dengan adanya jambatan baharu itu kelak, Simanggang dijangka menjadi destinasi tumpuan pengunjung. Hal ini menunjukkan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah berbaloi,” katanya sambil menegaskan mercu tanda baharu Simanggang itu merupakan antara jambatan paling tersergam indah yang pernah dilihat.
Menurut Norish Abdul Rahman, 25, dari Bau, beliau berharap dapat melalui jambatan tersebut suatu hari nanti serta tidak sabar menantikan siapnya laluan perhubungan baharu itu.
“Sebagai rakyat Sarawak, saya berharap jalan penghubung ini dapat disiapkan secepat mungkin dan mudah-mudahan kami dapat merasai kemudahan tersebut.
“Dengan adanya jambatan itu kelak, kami mahu mencuba perjalanan lebih jauh di kawasan pesisir yang saya kira akan memberikan pengalaman lebih menarik.
“Setakat ini, perjalanan yang dirancang hanya dari Kuching ke Simanggang. Selepas ini, kami mungkin merancang perjalanan dari Kuching hingga ke Sibu dengan menggunakan laluan baharu tersebut,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap ADUN Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, mengesahkan jambatan yang bakal menjadi mercu tanda ikonik terbaharu Simanggang itu dijangka siap sepenuhnya pada Mei ini.
Francis berkata, jambatan kabel gantung tertinggi Malaysia itu akan menjadi platform rangkaian utama dalam menyokong pembangunan ekonomi di bandar Simanggang dan sekitarnya.
“Jambatan tersebut akan membolehkan penduduk bergerak dengan lebih mudah melalui pelaksanaan projek jalan pesisir, sekali gus merancakkan. pembangunan ekonomi di bandar Simanggang dan sekitarnya.
“Selain itu, kewujudan jalan Brayun-Basi yang menghubungkan bandar ini dengan Lebuhraya Pan Borneo di Kampung Stuga, Engkelili turut memberi manfaat kepada 10 rumah panjang serta dua buah sekolah rendah di kawasan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, pada Oktober lalu, Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datuk Dr Cassidy Morris, mendedahkan projek pembinaan tersebut menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 72 peratus tahap penyiapan.
Katanya, kemajuan pelaksanaan kerja itu bukan sahaja menunjukkan perkembangan pesat projek berkenaan, malah dijangka mengikut perancangan yang ditetapkan dari segi ketepatan masa.
“Projek ini berada pada landasan yang betul dengan tahap kemajuan yang memuaskan. Fokus kini diberikan kepada memastikan aspek kualiti, keselamatan dan penyelarasan kerja tapak terus berada pada tahap optimum,” katanya.



