MARUDI: Pembinaan Jambatan Marudi kini mendahului jadual apabila sudah mencapai 68.4 peratus siap.
Justeru, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas optimis projek itu dapat disiapkan sepenuhnya pada September tahun ini.
“Ia dijangka siap pada September tahun ini berbanding jadual asalnya menjelang Jun 2025,” katanya selepas meninjau pembinaan Jambatan Marudi hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga ADUN Marudi Datuk Dr Penguang Manggil dan Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Chiew Chee Yau.
Sehubungan itu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan sangat gembira dengan kemajuan projek itu, dengan menyifatkan komitmen kontraktor terlibat wajar dicontohi oleh kontraktor lain.
“Apa yang kita dapat lihat, kontraktor melakukan kerja dengan sangat baik.
“Walaupun mereka menghadapi kekurangan pekerja, mereka turut bekerja pada waktu malam,” katanya.
Projek Jambatan Marudi dibina dengan nilai RM116.5 juta, dengan dua lorong sepanjang 650 meter merentangi Sungai Baram.
Apabila siap kelak, jambatan itu akan menghubungkan pekan Marudi dan Miri, sekali gus memendekkan tempoh masa perjalanan antara Miri dan Marudi.
Sementara itu, Uggah berkata kerajaan kini telah meluluskan banyak projek jalan raya di seluruh negeri dan sedang dalam proses melaksanakannya.
“Di daerah Marudi sahaja, kita ada kira-kira 10 projek jalan raya,” katanya.





