BUMI Kenyalang yang mempunyai keluasan sekitar 124,450 kilometer persegi, merangkumi 90 peratus keluasan Semenanjung Malaysia kini boleh berbangga dengan siapnya 10 jambatan utama, yang menghubungkan hampir segenap penjuru Sarawak.
Dari selatan hingga utara, yang suatu ketika dahulu mustahil untuk dihubungkan dengan jalan darat kini menjadi kenyataan, dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 2,083 kilometer dan menjadi lebih mudah dengan terbinanya jambatan mega yang menghiasi landskap kawasan pesisir.
Sarawak yang mempunyai 40 lembangan sungai utama, dan ratusan sungai kecil, sangat memerlukan jambatan sebagai penghubung untuk melancarakan aktiviti harian penduduk di kawasan luar bandar, terutama dalam urusan ekonomi.
Batang Rajang sejauh 770 kilometer merupakan sungai terpanjang di Malaysia, mengatasi Sungai Kinabatangan, Sabah (560 km), dan Sungai Pahang (459 km).
Manakala 45 sungai dikenal pasti sebagai lubuk waris Bujang Senang (buaya gergasi, 20 kaki), yang ditembak mati pada 22 Mei 1992 di Batang Lupar, Sri Aman.
Malah terdapat ratusan lagi sungai di daerah tertentu, seperti Mukah (74) dan Selangau (164).
Hanya pembinaan jambatan, sama ada besar, sederhana atau kecil boleh menghubungkan sesuatu kawasan yang terbahagi kepada tiga zon utama, pesisir pantai berpaya, kawasan bukit beralun di pedalaman dan banjaran gunung tinggi di sempadan Kalimantan, dihiasi sungai panjang hutan hujan tropika dan gua batu kapur yang unik.
Yang pasti, siapnya 10 jambatan utama akan melancarkan sistem perhubungan darat serta merancakkan pembangunan ekonomi di negeri ini.
Jambatan tersebut ialah Jambatan Marudi, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Tun Taib Mahmud (Jepak), Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang (Batang Rajang), Jambatan Batang Saribas 1 (Betong), Jambatan Datuk Amar Juma’ani (Bintangor), Jambatan Sebauh (Bintuku), Jambatan Lingga (Sri Aman) dan Jambatan Igan (Mukah).
Satu lagi jambatan mega, Jambatan Batang Lupar 1 yang bernilai RM848 juta yang kini sudah pun hampir siap sepenuhnya akan dibuka untuk orang ramai pada penghujung Mei ini.
Sepanjang 4.8 kilometer, jambatan ini akan menghubungkan Sebuyau dan Maludam, sebagai jambatan merentas sungai terpanjang di Malaysia.
Manakala Jambatan Pulau Pinang, merupakan jambatan terpanjang merentas laut di Malaysia (24 km).
Pengguna Jambatan Batang Lupar 1 boleh menjimatkan masa hampir satu jam, perjalanan dari Kuching ke Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri atau sebaliknya.
Dengan ketinggian 26 meter, ia boleh dilalui mana-mana kapal yang melaluinya.
Kedudukannya yang paling strategik, di laluan pesisir akan memanfaatkan pengguna dari seluruh Sarawak, dan akan menjadi pelengkap jalan pesisir.
Tiada lagi kenderaan berbaris panjang hampir tiga kilometer, terutama pada musim perayaan di kawasan tersebut.
Malah perjalanan menjadi singkat, dari selatan ke utara.
Pengguna tidak lagi risau mengharungi ombak di muara Sungai Batang Lupar.
Sarawak mencatat sejarah, sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang melaksanakan pembinaan 16 jambatan besar secara sekali gus.
Ia mambabitkan peruntukan besar, hampir RM8 bilion dana Kerajaan Negeri.
Kerajaan Sarawak juga akan membina tiga lagi jambatan baharu sebagai langkah strategik untuk memperkukuh jaringan pengangkutan, khususnya di kawasan pesisir dan luar bandar.
Antara yang dicadangkan ialah Jambatan Batang Sadong 2, Jambatan Marina di Miri, serta satu lagi jambatan ikonik di Sibu.
Ia sebagai pelengkap projek Jalan Raya Miri-Marudi-MuluLong Panai-Long Lama menelan kos RM3.8 bilion, yang dibiayai sepenuhnya melalui dana Sarawak.
Ia merupakan jajaran utama sepanjang 142 km, yang menjadi nadi kehidupan serta ekonomi baharu penduduk setempat.
Projek ini merupakan kesinambungan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menambah baik kemudahan infrastruktur jalan raya secara menyeluruh.
Ia bakal membuka akses kepada kawasan yang sebelum ini sukar dihubungkan, sekali gus merancakkan potensi pembangunan setempat.
Langkah ini akan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan, serta memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi di kawasan terlibat.
Sarawak kini mempunyai 18 jambatan utama yang berperanan penting dalam menyokong pembangunan infrastruktur negeri.
Kesemua projek tersebut dilaksanakan di bawah Program Jalan Pesisir dan Jalan Lingkaran Kedua yang menjadi pemacu utama sistem perhubungan darat di Sarawak.
Ia bakal memberi manfaat besar kepada rakyat melalui penjimatan masa perjalanan serta peningkatan aktiviti ekonomi tempatan.
Realitinya, pembinaan jambatan turut menjadi mercu tanda sesuatu tempat.
Misalnya, Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang bernilai RM248 juta mula digunakan pada 2019.
Reka bentuknya seperti Tower Bridge di London, sepanjang 630 meter merentas Sungai Terengganu, dan setinggi 12.5 meter.
Manakala Jambatan Golden Gate di San Francisco, Amerika Syarikat bernilai RM873 juta, yang cukup terkenal di dunia.
Ia adalah sebuah jambatan gantung berwarna jingga ikonik merentas selat Golden Gate.
Dibina sejak 1937, menghubungkan San Fracisco ke Kaunti Marin, sebagai sebahagian daripada laluan 101 Amerika Syarikat.
Ia menawarkan pandangan menakjubkan dari titik strategik seperti, Battery Spencer, Hawk Hill dan Crissy Field.
Begitu juga Jambatan Akashi Kaikyo di Kobe Jepun yang bernilai RM14 bilion.
Ia terkenal sebagai jambatan gantung terpanjang di dunia (hampir 4 kilometer), menghubungkan Kobe ke Pulau Awaj.
Jambatan yang dibina pada 1998 itu dianggap sebagai ‘syurga dunia’, direka khas untuk menahan gempa bumi, dan angin taufan.
Pembinaannya sebagai satu keajaiban dalam bidang kejuruteraan.
Ia menjadi tumpuan pelancong dari segenap penjuru dunia.
Yang pasti, 18 jambatan utama di Sarawak mempunyai keunikan tersendiri, bukan sekadar alat perhubungan penting penduduk setempat, tetapi sebagai mercu tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan dan kemudahan seluruh rakyat.
Ia adalah pelengkap kepada dasar Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030), satu dasar yang komprehensif.
Ia berpaksikan beberapa strategi utama, termasuk enam sektor teras iaitu pertanian, pelancongan, perhutanan, perlombongan, pembuatan serta sektor lain, yang disokong oleh tujuh pemangkin utama.
Inilah yang menjadi tiang dan dasar untuk membangunkan Sarawak, dari Lundu hingga Lawas.



