BETONG: Jambatan Sungai Layar ditutup sepenuhnya kepada semua trafik selama dua minggu bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan dan pengalihan paip bekalan air di kawasan berkenaan.
Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerja berkenaan dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur.
Katanya, keputusan menutup jambatan lama berkenaan dibuat selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti masalah keselamatan pada strukturnya.
“JKR menemukan masalah keselamatan. Jadi tujuan hari ini (5 September) adalah untuk berbincang dengan kontraktor dan konsultan supaya jambatan ini dapat disiapkan dengan secepat mungkin, supaya ia selamat.
“Kita juga meminta masyarakat di Betong bersabar. Kita akan menutup jambatan ini selama dua minggu,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas lawatan ke lokasi Jambatan Keluli Bermodular, di sini, semalam.

Terdahulu, Uggah meninjau keadaan jambatan berkenaan susulan kerosakan yang dikenal pasti serta kerja pembaikan yang sedang dilaksanakan.
Dalam lawatan itu, beliau turut diberikan taklimat oleh Jurutera JKR Bahagian Betong mengenai keadaan semasa jambatan, skop pembaikan dan langkah keselamatan sepanjang kerja dijalankan.
Pada masa yang sama, Uggah turut meninjau kemajuan Projek Menaik Taraf Jalan Saka–Spaoh serta pembinaan Jambatan Sungai Layar yang baharu.
Rombongan diberikan taklimat oleh pegawai Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB) selaku agensi pelaksana mengenai status dan kemajuan semasa kedua-dua projek berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu; Ahli Parlimen Betong merangkap Pengerusi Majlis Daerah Betong, Datuk Dr. Richard Rapu; serta ketua-ketua jabatan dan wakil agensi berkaitan di Bahagian Betong.
Dalam hal berkaitan, Uggah turut meminta kontraktor memanfaatkan sepenuhnya tempoh penutupan tersebut sekali gus mempercepatkan pembinaan jambatan baharu supaya dapat disiapkan lebih awal dan dibuka kepada pengguna dalam keadaan selamat.





