Jangan abai pendidikan pra sekolah

DARO: Pendidikan pra sekolah amat penting bagi menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek termasuk menguasai kemahiran asas sebelum melangkah masuk ke sekolah rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, institusi pendidikan awal itu mampu membentuk sikap positif dan menyemai budaya ilmu dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, pra sekolah berperanan besar mendidik anak-anak membaca dan mengira sehingga kanak-kanak itu memasuki alam persekolahan yang sebenar.

“Tadika bukan sahaja menjadikan alam persekolahan lebih menyeronokkan tetapi juga berperanan penting sebagai salah satu teras utama bagi melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi.

“Pendidikan peringkat awal ini juga berperanan sebagai acuan untuk memastikan anak-anak membesar pada landasan yang betul,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Prasekolah Peringkat Daerah Daro di Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong.

Safiee (duduk tiga kanan) bersama tetamu jemputan lain dalam Penutupan Karnival Prasekolah Peringkat Daerah Daro di Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong.

Safiee menegaskan, pendidikan merupakan aspek terpenting dalam kehidupan manusia selain menjadi salah satu agenda penting dalam pembangunan negara.

Katanya, pendidikan sempurna dapat melahirkan generasi baharu yang mampu mengubah nasib keluarga dan seterusnya, keluar daripada belenggu kemunduran dan kemiskinan.

“Kesungguhan dan keupayaan kita menguasai ilmu pengetahuan berupaya mengangkat martabat diri dan bangsa. Justeru, pendidikan merupakan asas penting untuk memastikan kemenjadian seorang insan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memberikan kerjasama dan menyokong pihak pengurusan sekolah jika ingin melihat anak-anak mereka berjaya.

Katanya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa mesti sentiasa berganding bahu dalam memastikan pendidikan anak-anak sentiasa diberi keutamaan.

Safiee menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang

“Tanggungjawab meningkatkan prestasi murid bukan hanya terletak pada bahu guru semata-mata, malah ibu bapa juga memainkan peranan sangat penting.

“Pada masa yang sama, PIBG adalah platform terbaik kepada ibu bapa membantu melonjakkan prestasi anak-anak bukan sahaja dalam bidang akademik, malah kokurikulum,” ujarnya.

Hadir sama, Ketua Unit Pendidikan Awal (Pra Sekolah), Nasir Salem yang mewakili Pengarah Pendidikan Sarawak, Pegawai Pendidikan Daerah Daro, Miskinah Arshad, pengetua, guru besar dan pemimpin masyarakat.

Program dimeriahkan dengan persembahan kanak-kanak