Jangan bandingkan 50 tahun dahulu

KUCHING: Keputusan diambil 50 tahun atau 30 tahun lalu tidak boleh dibanding dengan keputusan hari ini.

Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, jika diberi peluang sekarang untuk membuat penilaian dan keputusan, keadaan dulu dan sekarang adalah berbeza.

“Cabaran pada masa dahulu dan kini adalah berbeza. Maklumat diperoleh dulu sudah tentu berbeza dengan sekarang, dengan teknologi serba canggih,” katanya ketika membahas usul penghargaan ucapan Yang di Pertua Negeri di Dun semalam.

Fazzrudin berkata walau bagaimanapun keputusan yang dibuat berdasarkan keputusan semasa ketika itu harus dijadikan panduan dan pengajaran kepada pemimpin masa kini.

“Ini tanggungjawab kita kepada anak, cucu dan generasi akan datang. Kita yang berada di peringkat tertinggi perundangan harus menetapkan landasan kukuh agar generasi akan datang dapat menghadapi cabaran,” katanya.

Beliau juga berkata, Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai pembangunan infra seperti jalan raya, perparitan, bekalan air dan bekalan elektrik.

“Kebijaksanaan pemimpin kita sentiasa memikirkan kaedah terbaik untuk menjana pendapatan negeri,” ujarnya.

Beliau menyatakan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana memberi respons kepada golongan belia. Kata Fazzrudin, Ketua Menteri menyasarkan Sarawak sebagai negeri yang berpendapatan tinggi dan memberi implikasi kepada belia Sarawak.

“Pelbagai strategi, polisi dan inisiatif digubal untuk mencapai sasaran ini.

“Antara strategi untuk memacu objektif tersebut adalah penekanan kepada ekonomi digital,” ujarnya.