KUCHING: Setiap kali jerebu rentas sempadan kembali menyelubungi Sarawak, rakyat sekali lagi terpaksa berdepan dengan udara tercemar yang menjejaskan kesihatan, persekolahan, perniagaan dan kehidupan harian.
Keadaan itu mendorong kumpulan gerakan Sarawak for Sarawakians menggesa Kerajaan Malaysia dan Sarawak mengambil langkah lebih tegas, termasuk meneroka tindakan undang-undang serta saluran diplomatik terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu.
Aktivis sosial, Peter John Jaban, yang merupakan antara penggerak kumpulan itu berkata, masalah berkenaan tidak lagi wajar dilihat sebagai kesulitan bermusim kerana kesannya ditanggung oleh rakyat Sarawak berulang kali sejak sekian lama.
Menurutnya, kawasan bandar termasuk Kuching serta penempatan berhampiran sempadan turut terjejas apabila keadaan jerebu menjadi semakin buruk sehingga langkah kecemasan perlu dilaksanakan di sesetengah kawasan.
“Siapa yang akan melindungi rakyat Sarawak dan siapa yang akan dipertanggungjawabkan terhadap kerosakan akibat jerebu rentas sempadan yang berulang?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Peter John, Malaysia dan Indonesia ialah pihak kepada Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang menetapkan kewajipan untuk mencegah, memantau dan mengawal aktiviti yang menyebabkan pencemaran rentas sempadan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menggunakan mekanisme di bawah perjanjian berkenaan untuk mengemukakan kebimbangan Malaysia kepada Indonesia selain menuntut penguatkuasaan lebih tegas terhadap pihak yang menyebabkan kebakaran.
Kumpulan itu turut mencadangkan penilaian bebas bagi mengenal pasti kesan jerebu terhadap kesihatan awam, alam sekitar, ekonomi dan pendidikan di Sarawak supaya kerugian yang dialami dapat didokumentasikan.
Selain itu, beliau meminta kerajaan untuk meneroka semua saluran perundangan yang bersesuaian, termasuk kemungkinan tuntutan terhadap syarikat atau pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat bukti kukuh, selain mendapatkan pampasan atau remedi bagi kerugian yang dapat dibuktikan.
Peter John turut menggesa Kerajaan Sarawak segera meneroka tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Indonesia melalui forum perundangan yang mempunyai bidang kuasa, dengan menegaskan tindakan sedemikian perlu berasaskan bukti yang disahkan serta mematuhi undang-undang antarabangsa.
Pada masa sama, katanya, Sarawak perlu memperkukuh tindak balas domestik menerusi pemantauan kualiti udara, perlindungan kesihatan awam dan bantuan kepada komuniti yang terjejas.
“Kita tidak boleh terus menjadi mangsa pasif sedangkan rakyat berdepan dengan kemudaratan yang boleh dicegah.”
“Ini bukan serangan terhadap rakyat Indonesia, sebaliknya tuntutan supaya wujud tanggungjawab, penguatkuasaan, kerjasama dan keadilan,” ujarnya.



