Jangan bosan patuhi PKP

ADAKAH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi selepas 12 Mei? Inilah persoalan bagi semua orang sekarang, memandangkan keadaan di negara kita sekarang ini agak baik, berbanding negara-negara lain, terutama di benua Eropah dan Amerika Syarikat.

Sudah pasti, lebih ramai yang mahukan ia ditamatkan, namun ada juga yang merasakan ia masih wajar diteruskan bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dibendung sepenuhnya.

Tetapi nampaknya, adalah agak mustahil untuk PKP ditamatkan memandangkan virus membunuh ini masih lagi aktif. Walaupun kes positif jangkitan Covid-19 menurun ketika ini namun ia masih menimbulkan kebimbangan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini kerana, katanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khuatir angka penurunan kes positif dicatatkan sekarang menjadikan masyarakat alpa. Justeru, penurunan jumlah kes beberapa hari ini dibimbangi disalah erti serta menyebabkan masyarakat lalai lalu mengambil mudah PKP kerana memikirkan wabak ini hampir berakhir.

Oleh itu, adalah amat penting untuk semua kita bersamasama bersabar dan bekerjasama memutuskan rantaian penularan jangkitan. Sudah lebih sebulan kita dapat bertahan sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu. Maka janganlah kerana kealpaan kita, keadaan bertambah buruk.

Teruskanlah mematuhi saranan KKM walaupun perkembangan dalam penurunan kes ini sememangnya positif. Apa yang penting, masyarakat perlu terus berada di dalam rumah masing-masing dan mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa menjaga kesihatan diri, keluarga dan masyarakat.

Usah jadikan duduk di rumah membosankan sebagai alasan, kerana banyak aktiviti berfaedah dan menarik yang boleh kita lakukan. Bagi kaum wanita terutama golongan suri rumah, duduk di rumah mungkin sudah menjadi kebiasaan.

Tetapi bagi wanita termasuk lelaki yang bekerja, inilah masanya untuk meluangkan masa sepenuhnya bersama-sama keluarga.

Memandangkan anak-anak juga tidak dapat bersekolah, maka waktu di rumah ini juga boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa untuk mengajar anak-anak atau membimbing mereka membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru.

Bagi golongan lelaki pula, masa ini juga boleh digunakan untuk mengasah bakat memasak, membuat kuih, mengemas rumah dan sebagainya. Setidak-tidaknya kegiatan memasak, membuat kuih ini boleh juga dinikmati oleh seisi keluarga dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Semua orang sememangnya rindukan kehidupan normal yang dinikmati sebelum terjadinya pandemik koronavirus baharu ini.

Tetapi janganlah kerana terlalu rindukan kehidupan normal, nyawa kita terus diancam oleh virus dari bandar raya Wuhan, China ini. Harus diingat, peperangan kita bukanlah untuk menamatkan PKP tetapi membunuh virus Covid-19

Suara Sarawak