MIRI: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan penemuan mayat seorang lelaki tempatan di kediamannya di Promin Jaya, Senadin, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 46 tahun, namun kes berkenaan masih lagi dalam siasatan.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima makluman mengenai penemuan mayat tersebut kira-kira jam 9.12 malam semalam, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Miri.
“Pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan tiada sebarang kecederaan dijumpai pada tubuh badan mangsa.
“Susulan itu, satu kertas siasatan mati mengejut (SDR) telah dibuka bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di samping itu, Alexson menyeru kepada individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat.



