Jangan guna Sifu Kunyit

KUCHING: Orang ramai diingatkan untuk mengelakkan memakai produk kosmetik Sifu Kunyit Day Cream, Sifu Kunyit Night Cream dan JJ Skincare Glowhite Night Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam suatu kenyataan semalam berkata, produk-produk kosmetik tersebut telah dibatalkan oleh KKM.

“Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM mengesahkan produk berkenaan mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone valerate iaitu ubat yang perlu berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Tegasnya, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

“Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan jika disapu pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Selain itu, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Manakala penggunaan produk yang mengandungi betamethasone valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya.

Jelasnya lagi, kandungan merkuri pula dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan kerana bahan itu boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

Merkuri juga boleh menganggu perkembangan otak kanakkanak yang masih kecil atau bayi dalam kandungan selain boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Tambahnya, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan. “

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” katanya.