Jangan leka, patuhi PKPP

DARO: Pemilik premis perniagaan yang beroperasi di daerah ini digesa mematuhi peraturan di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, kepatuhan semua pihak termasuk pemilik premis, penjaja dan orang awam amat penting bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Katanya, penjarakan sosial perlu terus dipraktikkan selain menggunakan pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan pemeriksaan suhu badan. “Kita bersyukur kerana sehingga kini kawasan Daro masih bebas Covid-19. Justeru, masyarakat di perlu terus mematuhi SOP termasuk peniaga yang menjalankan perniagaan di medan selera,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan termometer dan cecair pembasmi kuman kepada peniaga di Medan Selera Daro. Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Peniaga Medan Selera Othman Busaie dan ahli jawatankuasa Medan Selera.

Ahmad Johnie menambah, perkembangan itu wajar dijadikan sebagai pencetus semangat untuk lebih mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pandemik ini dapat dicegah sepenuhnya,” katanya. Dalam pada itu, beliau mengesa penduduk yang tinggal di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon hijau supaya tidak leka dan kekal mematuhi PKPP.

Peringatan secara berulang diberikan agar masyarakat mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter serta kebersihan diri. “Penduduk perlu mengambil iktibar daripada senario yang berlaku di negara lain agar tidak mengambil mudah dengan situasi tiada kes jangkitan di kawasan mereka,” tegasnya

Suara Sarawak