GEORGE TOWN, Pulau Pinang: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa orang ramai agar tidak membazirkan makanan pada bulan puasa ini memandangkan 90,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara sepanjang Ramadan lepas.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata kajian juga menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding pada bulan lain.
“Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat bagi umat Islam tetapi bagi sesetengah orang ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan.
“Islam menyuruh umatnya untuk mengelak sikap rakus, membazir dan boros,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara tujuan berpuasa adalah untuk memahami kelaparan yang dialami golongan miskin dan terpinggir agar umat Islam mempunyai sikap empati kepada golongan tersebut.
Menurutnya, kini lebih dua juta rakyat Palestin menghadapi kebuluran, justeru rakyat Malaysia tidak sepatutnya membuang begitu banyak makanan pada bulan suci ini.
Mohideen juga meminta umat Islam agar mengelak daripada berbuka puasa di hotel sebaliknya amalkan untuk berbuka puasa di rumah serta masjid bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
“Jemputlah jiran bukan Islam anda untuk berbuka puasa bersama.
Dengan cara ini kita dapat membina hubungan baik dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. — BERNAMA






