KUCHING: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru ahli politik supaya berhenti mempolitikkan isu Undi18 kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan dan penyampaian maklumat yang salah dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, alasan mudah dan jujur mengapa ia tidak boleh dilaksanakan sebelum 31 Disember tahun ini adalah kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersedia dari segi pelaksanaan, khususnya mengenai sistem.
“Ia bukan kerana kerajaan takut untuk membenarkan anak-anak muda yang berumur 18 tahun ini untuk mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya bagi Majlis Randau bersama pemimpin peringkat parlimen P.193 Santubong, di Pusat Konvensyen Penview Kuching (PCCK), hari ini.
Tambah beliau, pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik akan menyaksikan peningkatan lebih 40 peratus (6.1 juta) dalam jumlah pengundi daripada 14.9 juta kepada 21.2 juta pemilih yang didaftarkan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Berikutan itu, SPR akan menghadapi tugas besar untuk membersihkan senarai itu bersama dengan agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara.
“Ini adalah untuk memastikan hanya mereka yang layak mengundi berada dalam senarai,” tambahnya.






