DEBAK: Ikrar Pergerakan Pemuda Saribas untuk berdiri teguh bersama-sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg diiringi usaha lebih agresif demi memastikan rakyat memahami perjuangan sebenar GPS.
Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, hala tuju perjua-ngan GPS harus sampai kepada rakyat secara menyeluruh.
“Sekiranya tiada usaha sebegini, kita risau rakyat disuap dengan sesuatu yang tidak tepat. “Lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), terlalu banyak pihak suka memutarbelitkan fakta.
“Justeru, jentera Pemuda kita gerakkan secara aktif dalam menjelaskan hala tuju perjuangan GPS khususnya di Saribas. “Saya berharap rakyat tidak terpengaruh dengan pihak lain yang sengaja memburuk-burukkan GPS dan pemimpinnya,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Pergerakan Pemuda Saribas di sini, baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB berkata, jentera Pemuda Saribas sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan PRN-12.
“Barisan pemuda bersedia bersama-sama Jawatankuasa PBB Cawangan, Bapa serta Wanita untuk mempertahankan kemenangan di Dun Saribas.
“Kita merancakkan penganjuran aktiviti dari semasa ke semasa dan antara yang diteruskan ialah mendekati belia dalam usaha menambah keahlian PBB.
“Sehingga kini, keahlian PBB di Saribas berjumlah 5,599 orang tidak termasuk 539 permohonan keahlian baharu dihantar dan sedang diproses ibu pejabat PBB,” ujarnya.
Trend ini tambah Razi menunjukkan senario yang cukup baik dengan kedudukan PBB terus mendapat kepercayaan rakyat.
“Ini turut membuktikan PBB sebagai platform perjuangan yang terbaik dan sesuai untuk anak Sarawak dalam menjaga hak serta pelaksanaan pembangunannya,” jelasnya.
Naib Ketua PBB Cawangan Kaunselor Abdul Kadir Manterang, Setiausaha PBB Cawangan Kaunselor Ahmad Pandoi dan Ketua Pergerakan Pemuda Saribas Mahadir Seliman antara yang turut hadir.



