Jangan salahkan Kerajaan Sarawak, bila prestasi bola sepak merudum

KUCHING: “Saya tidak pernah menganak tirikan mana-mana sukan yang ada termasuklah bola sepak.

Itu antara penjelasan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengulas mengenai tindakan Kelab GB13 yang mengkritik kerajaan Sarawak di laman sosial baru-baru ini.

Katanya Kerajaan Sarawak tidak pernah mengetepikan pasukan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) malahan setiap tahun pihaknya memperuntukan kewangan yang besar dari kerajaan negeri.

“Jangan disebabkan kedudukan Sabah FA sekarang berada di tangga teratas mereka mendakwa Kerajaan Sabah membantu kumpulan mereka dan kita tidak.

“Untuk pengetahuan semua Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan kewangan yang paling banyak kepada sukan bola sepak berbanding sukan lain, saya percaya hampir tiga suku dana diperuntukkan untuk membantu pembangunan pergi kepada bola sepak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Jelasnya lagi kenyataan yang dikatakan oleh Pihak GB13 di laman facebook baru-baru ini ialah satu kenyataan yang salah.

Oleh itu, beliau mahu FAS diurus tadbir dengan baik namun kadangkala ujarnya begitu banyak pemain dibawa masuk, perkara itu mungkin tidak berkesan untuk pasukan.

“Saya harap untuk musim terbaru, sesiapa yang menguruskan pasukan dapat menghasilkan kumpulan yang terbaik setidak-tidaknya berada di tangga ke empat atau kelima dalam mana-mana liga yang disertai.

“Kita mahu melihat sukan bola sepak berkembang maju di Sarawak, kita tidak mahu masalah dalaman memberi kesan kepada prestasi pasukan, kita mahu lihat bagaimana kumpulam pemain dapat diurus dengan baik, ” tegas beliau lagi.

Ujarnya lagi duit bukanlah pendorong segalanya dalam usaha untuk menjadi juara

“Kalau kita suntik duit banyak-banyak pun kalau pasukan tidak ditadbir baik, saya percaya kumpulan itu tak akan dapat capai kejayaan mereka.

“Mereka (GB13) perlu melihat dari sudut dalaman iaitu pengurusan FAS sendiri yang tidak teratur dan kurang berkesan,” katanya

Bagaimanapun, beliau berharap pasukan FAS terus sedaya upaya untuk bangkit semula dan dapat tersenarai ke liga seterusnya untuk musim baharu yang akan datang.

Suara Sarawak