ARTIKEL

Jangan terpedaya taktik ulat tiket

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Komunikasi dan Digital akan memanggil penganjur konsert Coldplay bagi meneliti serta mendapatkan maklumat situasi sebenar isu penjualan tiket konsert berkenaan.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, ia bagi memastikan isu yang sama tidak akan berulang pada masa hadapan.

“Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa untuk memanggil penganjur konsert dan agensi berkaitan.

“Pertemuan dengan penganjur konsert itu akan disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ia untuk kita memahami apa sebenarnya yang berlaku, mengapa ia berlaku, bagaimana masalah itu boleh diatasi serta apakah langkah yang perlu diteliti supaya ia tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat bilik media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, semalam.

Menurutnya, perbincangan itu akan meneliti cara penjualan tiket konsert kumpulan muzik Britain itu sama ada perlu ada sekatan atau syarat yang perlu dikenakan terhadap penganjur.

“Kita juga sedang meneliti sama ada terdapat peruntukan atau undang-undang untuk membolehkan tindakan diambil,” jelasnya.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak membeli sebarang tiket konsert daripada platform yang tidak dipastikan kesahihannya bagi mengelakkan ditipu oleh ulat tiket.

Terdahulu, dilaporkan beberapa individu dipercayai pembeli tiket hantu menjual semula tiket konsert siri jelajah Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Bukit Jalil pada 22 November ini dengan harga mencecah RM43,200.

Difahamkan, tiket tempat duduk kategori 1 berharga RM1,288 seperti tertera dalam laman web rasmi GoLive-Asia, namun kumpulan ulat tiket mengambil kesempatan dengan menjual tiket berkenaan pada harga tidak masuk akal.

Susulan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, dalam laporan media berkata, sekiranya ada pihak membuat aduan, pihaknya akan menyiasat perkara itu mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

Untuk rekod, tiket konsert Coldplay menjadi rebutan jutaan rakyat Malaysia dengan menyaksikan habis dijual dalam tempoh tiga jam selepas kaunter tiket dalam talian dibuka sehingga menyebabkan aliran trafik di laman sesawang menjadi perlahan.

Coldplay yang memulakan siri jelajah sejak Mac tahun lalu turut singgah di Jepun pada 6 dan 7 November, disusuli Taiwan (11 November); Indonesia (15 November) dan Australia (18 November), sebelum ke Kuala Lumpur pada 22 November untuk hentian terakhir di Asia.

Harga tiket konsert ini di Malaysia bermula pada kadar RM228 sehingga mencecah RM3,088. 

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU