SIMANGGANG: Rakyat Sarawak diminta tidak terpengaruh dengan dakwaan mengelirukan berhubung projek Jambatan Batang Lupar 1 yang didakwa cuba dipolitikkan pihak tertentu dan tular di media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA), Gerald Empaling berkata, beliau menyokong penuh kenyataan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sebastian Ting berhubung penyebaran maklumat tidak tepat mengenai projek berkenaan.
Menurutnya, rakyat Sarawak sedia maklum bahawa projek tersebut berjaya direalisasikan hasil keazaman, komitmen dan kemampuan kewangan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Walaupun projek itu pada awalnya diluluskan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun selepas pertukaran Kerajaan Persekutuan pada 2018, pentadbiran Pakatan Harapan yang diterajui Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng didakwa mengambil langkah membatalkan beberapa projek infrastruktur penting di Sarawak, termasuk Jambatan Batang Lupar 1.
“Tindakan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Kerajaan Sarawak yang enggan membiarkan rakyat khususnya di kawasan pesisir dan luar bandar terus berdepan kekangan perhubungan dan pembangunan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kemudiannya mengambil keputusan meneruskan projek berkenaan menggunakan sumber kewangan negeri sendiri demi kepentingan rakyat.
“Penyiapan Jambatan Batang Lupar 1 hari ini menjadi simbol keupayaan, ketegasan dan komitmen Sarawak dalam mempertahankan agenda pembangunan negeri serta memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan Greater Sri Aman,” katanya.
Tambahnya, jambatan tersebut bukan sekadar infrastruktur fizikal, malah menjadi lambang visi dan kepimpinan kerajaan GPS dalam memastikan pembangunan Sarawak terus diperkasakan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan cubaan sesetengah pihak mengaitkan kejayaan projek itu dengan Kerajaan Persekutuan semasa sebagai tindakan tidak bertanggungjawab serta boleh mengelirukan rakyat.
Sehubungan itu, Gerald menyeru masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap penyebaran propaganda politik dan terus menyokong perkongsian maklumat yang berasaskan fakta serta sejarah sebenar pembangunan Sarawak.


