Jangan timbul isu remeh

PUSA: Apabila hasrat peribadi tidak tertunai, pembangkang dilihat mula mendesak masyarakat agar menolak wakil rakyat sedia ada.

Malah memohon Kerajaan Sarawak untuk mendengar keinginan mereka, kata Ketua Penerangan PBB Beting Maro Ramzi Rasit.

“Itulah pembangkang! Apabila hati sudah tidak berkenan, sesiapa pun yang menjadi wakil rakyat mereka tidak akan sokong.

“Dulu semasa Datuk Bolhassan Di menjadi Adun di sini, merekalah orang yang mahukan pemimpin ditukar.

“Jadi, apabila hasrat peribadi pembangkang ini tidak tercapai, mereka mendesak perkara serupa dengan menimbulkan isu yang remeh.

“Begitu juga di peringkat tertinggi, mereka menghentam Ketua Menteri dengan pelbagai isu.

Maknanya, pembangkang ikut angin mereka sendiri,” katanya kepada Suara Sarawak semalam ekoran tular petisyen untuk menukar pemimpin.

Jelasnya, sifat dengki pembangkang juga telah membutakan mata sendiri daripada melihat pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan.

“Apabila hati sudah tidak berkenan dan wujud sifat dengki, ada projek pembangunan pun akan dianggap tiada apa-apa… bekerja keras pun akan ditafsir tidak turun padang.

“Justeru, saya mengharapkan rakyat tidak terpengaruh dengan pihak pembangkang yang hanya pandai bercakap.

“Ingat, Razaili dan pasukan GPS berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan Beting Maro dan Sarawak,” ujarnya.

Ramzi menyifatkan sokongan masyarakat akar umbi terhadap Adun Beting Maro Razaili Gapor semakin hari dirasai semakin padu.

Malah rakyat sekali gus masih mengharapkan anak tempatan itu terus diberikan peluang mewakili suara rakyat di sini, dalam masa yang sama membawa lebih banyak pembangunan.

Suara Sarawak