KUCHING: Anak jati Saratok, Janting Tingom mengharumkan nama Sarawak di pentas nasional selepas muncul juara kategori Sains dan Teknologi di UG i-Fest 2025, festival Projek Tahun Akhir (FYP) pertama dan terbesar negara.
Pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya itu, mengukir sejarah tersendiri apabila projek penyelidikannya bertajuk “Penilaian Prestasi Serbuk Klinker Kelapa Sawit (POC) Sebagai Bahan Tambahan Dalam Reka Bentuk Turapan Asfalt Suhu Sederhana” dipilih sebagai yang terbaik dalam kalangan lebih 2,600 penyertaan daripada 16 fakulti.

Menurut Janting, kemenangan ini bukan hanya kejayaan peribadi tetapi diharap menjadi inspirasi buat anak muda luar bandar, khususnya dari Sarawak.
“Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong sepanjang pengajian terutamanya penyelia projek saya, Dr Suhana Koting, yang juga anak Sarawak.
“Tanpa bimbingan dan semangat beliau, saya tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya.
Ujarnya, FYP beliau merupakan projek inovatif yang menumpukan kepada penggunaan sisa industri kelapa sawit. Sisa yang lazimnya dibuang, diinovasikan sebagai bahan tambah mesra alam dan menjimatkan kos dalam pembinaan jalan raya.
Sebagai pengiktirafan atas kejayaan tersebut, beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 serta biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Malaya.
UG i-Fest 2025 yang julung kalinya dianjurkan menjadi platform terbesar di negara ini dalam mengetengahkan inovasi dan kepakaran pelajar tahun akhir.





