ARTIKEL

Jasa Jambatan Batang Paloh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAM minggu lepas, empat kali saya ulang-alik dari Kuching ke Sarikei dan Matu, kemudian ke Sibu, balik semula ke Sibu, Tanjung Manis dan Matu menggunakan Jambatan Batang Paloh yang baharu.

Paling terkesan apabila jambatan yang baharu dibuka pada 30 Oktober lalu itu benar-benar memberi jasa besar kepada keluarga saya.

Kisahnya, abang ipar saya dihantar dari Matu ke Sibu untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Dalam keadaan keluarga sedang berdepan kebimbangan, perjalanan melalui jambatan baharu itu sedikit sebanyak memudahkan urusan kami.

Sekurang-kurangnya kami tidak perlu lagi memikirkan soal feri, masa menunggu atau kemungkinan terlewat sampai ke destinasi.

Malangnya abang ipar saya meninggal dunia di Sibu.

Perjalanan yang pada mulanya membawa harapan untuk melihat dia kembali sembuh bertukar menjadi perjalanan yang cukup menyedihkan.

Jalan yang sama digunakan untuk membawanya pulang ke Matu tetapi kali ini bukan lagi untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Saya tidak pernah menyangka jambatan yang baru sahaja dibuka itu akan menjadi sebahagian daripada kenangan terakhir kami bersama-sama abang ipar.

Belum pun sebulan digunakan, sudah ada kisah peribadi yang cukup besar tersimpan di sepanjang laluan tersebut.

Dahulu, setiap kali hendak pulang ke kampung, perjalanan memerlukan sedikit perancangan, terutama apabila melibatkan perkhidmatan feri.

Kita perlu mengambil kira masa menunggu, keadaan cuaca dan jumlah kenderaan.

Kalau bernasib baik, perjalanan lancar.

Kalau tidak, terpaksalah bersabar menunggu giliran.

Bagi orang yang sesekali menggunakan laluan tersebut, mungkin menunggu feri bukan masalah besar.

Tetapi bagi penduduk yang bergantung kepada laluan itu untuk urusan harian, terutama ketika berlaku kecemasan, setiap minit sebenarnya cukup berharga.

Sebab itu saya melihat pembukaan Jambatan Batang Paloh dari sudut yang berbeza kali ini.

Ia bukan sekadar sebuah projek pembangunan yang menghubungkan kawasan pesisir Sarawak.

Bagi keluarga saya, jambatan itu telah memudahkan perjalanan ketika kami benar-benar memerlukannya.

Dalam tempoh beberapa hari, saya melalui laluan yang sama dengan perasaan yang silih berganti.

Ada perjalanan yang dibuat dengan kebimbangan, ada yang membawa harapan dan akhirnya ada perjalanan yang diselubungi kesedihan.

Ketika abang ipar masih menerima rawatan, tentulah kami berharap dia akan kembali sihat.

Dalam keadaan begini, fikiran kita tidak pergi jauh.

Kita hanya mahu orang yang dekat dengan kita sembuh, dapat pulang dan meneruskan kehidupan bersamasama keluarga.

Namun, manusia hanya mampu merancang.

Apabila sampai waktunya, kita terpaksa menerima kenyataan walaupun hati belum benar-benar bersedia.

Bagi saya, suami kepada saudara perempuan bukan sekadar seseorang yang menjadi ahli keluarga melalui perkahwinan.

Setelah sekian lama bersama, hubungan itu sudah hampir sama seperti hubungan adik-beradik sendiri.

Kita menghormatinya sebagai abang, mengambil berat tentang kesihatannya dan turut merasakan kehilangan apabila dia pergi.

Saya masih memikirkan betapa cepatnya keadaan boleh berubah.

Dalam satu perjalanan, kami masih mengharapkan berita baik.

Tidak lama kemudian, kami sudah berdepan kenyataan bahawa dia tidak akan pulang bersama-sama kami seperti dahulu.

Apabila melalui Jambatan Batang Paloh sekali lagi, saya terfikir bahawa setiap jalan sebenarnya menyimpan cerita tersendiri.

Ada jalan yang kita lalui berpuluh-puluh tahun tanpa meninggalkan kenangan istimewa.

Ada juga jalan yang baru beberapa kali digunakan tetapi kisahnya akan diingati sepanjang hayat.

Bagi saya, jambatan ini termasuk dalam kategori kedua.

Saya juga terfikir tentang penduduk di kawasan Matu, Daro dan sekitarnya yang selama ini cukup biasa dengan perjalanan menggunakan feri.

Pembukaan jambatan itu tentunya membawa perubahan besar kepada kehidupan mereka, terutama yang perlu berulang-alik atas urusan keluarga, pekerjaan dan mendapatkan rawatan.

Kadangkala kita bercakap tentang pembangunan melalui angka peruntukan, panjang jambatan atau tempoh pembinaan.

Semua itu penting sebagai maklumat.

Namun, bagi rakyat biasa, manfaat pembangunan lebih mudah dirasakan melalui pengalaman sendiri.

Apabila perjalanan menjadi lebih singkat dan mudah, apabila orang sakit dapat dibawa tanpa perlu menunggu feri dan apabila ahli keluarga dapat sampai ke destinasi tanpa banyak halangan, di situlah kita memahami makna sebenar sebuah kemudahan.

Sekurang-kurangnya urusan perjalanan menjadi lebih mudah dalam keadaan fikiran dan perasaan kami sedang terganggu.

Sudah tentu kemudahan perjalanan tidak mampu mengubah takdir.

Jambatan yang baik tidak dapat menjanjikan seseorang akan sembuh atau memanjangkan hayat sesiapa.

Tetapi ia boleh membantu meringankan kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh keluarga.

Dan kadangkala, bantuan seperti itu sangat besar maknanya.

Saya membayangkan berapa ramai lagi penduduk yang akan mendapat manfaat daripada jambatan ini pada masa depan.

Mungkin ada ibu yang perlu segera dibawa ke hospital, anak yang pulang menjenguk orang tua atau keluarga yang mahu menghadiri majlis penting di kampung halaman.

Setiap hari akan ada orang melintasinya dengan urusan dan tujuan masing-masing.

Ada yang gembira hendak pulang bercuti, ada yang bergegas kerana tuntutan pekerjaan dan tidak kurang juga yang sedang berdepan kesulitan hidup.

Begitulah kehidupan.

Kita menggunakan jalan yang sama, tetapi membawa cerita yang berbeza.

Saya akan terus menggunakan laluan itu apabila pulang ke kampung nanti.

Mungkin selepas ini perjalanan akan terasa lebih mudah dan cepat berbanding dahulu.

Tidak perlu lagi memikirkan waktu feri atau berapa panjang kenderaan sedang beratur.

Cuma ada satu perkara yang pasti berbeza.

Setiap kali melintasi jambatan itu, saya akan teringat pada saat pertama kali melalui jalan tersebut dengan sebuah harapan.

Saya akan lebih menghargai kesempatan untuk pulang ketika keadaan masih tenang.

Kadangkala kita rasa masih banyak masa untuk menjenguk keluarga.

Kita tangguhkan perjalanan ke minggu depan, sedangkan duduk bersama dan bertanya khabar pun sudah cukup untuk menggembirakan hati.

Saya berharap perjalanan yang semakin mudah ini memberi lebih banyak kesempatan kepada anakanak yang bekerja jauh untuk menjenguk ibu bapa di kampung.

Bagi orang tua yang menunggu di rumah, kunjungan yang singkat pun boleh membawa kegembiraan.

Saya juga berharap keluarga lain yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan termasuk tiga hospital swasta di Sibu untuk mendapatkan rawatan akan mendapati perjalanan mereka lebih mudah.

Dalam keadaan cemas, dapat meneruskan perjalanan tanpa perlu menunggu feri sudah cukup untuk mengurangkan sedikit kebimbangan.

Jambatan Batang Paloh memudahkan perjalanan harian kira-kira 12,000 penduduk di 14 penempatan di Pulau Bruit.

Dengan adanya laluan darat, penduduk kini boleh ke sekolah, mendapatkan rawatan dan menjalankan urusan harian tanpa perlu menunggu feri.

Jambatan itu turut memudahkan nelayan dan petani menghantar hasil laut serta hasil pertanian ke pasaran seperti Sarikei, Sibu dan Mukah.

Struktur jambatan itu juga digunakan sebagai laluan paip utama bagi menambah baik bekalan air bersih ke Pulau Bruit.

Akses lebih baik turut membuka peluang kepada peniaga kecil dan pengusaha tempatan untuk membawa hasil mereka ke pasaran yang lebih luas.

Bagi masyarakat setempat, manfaat jambatan itu akhirnya dapat dilihat pada urusan harian lebih mudah, peluang ekonomi yang lebih dekat dengan tempat tinggal mereka.

BERITA LAIN

Kesan PAS tidak bertanding

KALAU kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Peribahasa itu sesuai untuk membaca keputusan PAS tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan

Berundurnya Gibran

PELETAKAN jawatan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden – pengunduran pemimpin muda yang membuka persoalan lebih besar berkaitan kuasa, legasi Jokowi, kedudukan Prabowo dan masa

BERITA TERBARU

FINAS sasar kategori khas filem ASEAN dalam FFM

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berhasrat memperkenalkan kategori khas filem ASEAN dalam Festival Filem Malaysia (FFM) bagi memperluas pengiktirafan festival itu ke