ARTIKEL

Jasa Klinik Long San

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BARU-BARU ini, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan empat inisiatif utama bagi mengatasi peningkatan beban pesakit di hospital kerajaan.

Menurutnya, ini termasuk melalui program penyumberluaran pesakit ke hospital swasta.

Antara langkah diambil adalah pelaksanaan Hospital Kluster dan Hospital Services Outsourcing Program (HSOP) yang bertujuan mengurangkan tempoh menunggu bagi perkhidmatan pembedahan melalui kerjasama awam dan swasta.

Berucap di Dewan Rakyat, Lukanisman mendedahkan, kementerian juga memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menjalankan diagnosis, dan ini merupakan salah satu kaedah bagi mengurangkan beban pesakit di hospital kerajaan.

Kesesakan di klinik turut dikurangkan melalui perkhidmatan farmasi tambahan (Value Added Service), yang membolehkan pesakit mendapatkan ubat tanpa perlu beratur di kaunter farmasi.

Perkhidmatan Konsultasi Maya juga diperkenalkan bagi membolehkan pesakit mendapatkan nasihat perubatan secara dalam talian tanpa perlu hadir ke klinik.

Apabila membaca berita mengenai hospital ini, sejak beberapa tahun lalu, enai amai (ibu bapa) saya menjadi pelanggan tetap hospital kerana faktor kesihatan.

Saya juga pernah menemani mereka untuk pemeriksaan kesihatan atau mengambil ubat di hospital.

Bagaimanapun, saya jarang menemani mereka kerana kami tinggal berjauhan.

Tetapi jika pulang bercuti, saya pasti akan meluangkan masa menemani mereka.

Hospital yang mereka kunjungi ini tidaklah besar atau sibuk seperti hospital di bandar kerana Hospital Marudi terletak di luar bandar.

Hospital Marudi merupakan sebuah hospital daerah kerajaan yang terletak di Daerah Marudi.

Ia memiliki wad dengan 54 katil dan merupakan sebuah hospital daerah bukan pakar yang menawarkan perkhidmatan pesakit luar dan pesakit di wad.

Bagi pesakit yang memerlukan penjagaan lanjut atau perkhidmatan pakar, mereka biasanya akan dihantar ke Hospital Miri.

Antara perkhidmatan yang terdapat di Hospital Marudi termasuk perkhidmatan klinik seperti Unit Kecemasan, Jabatan Farmasi, Unit Kerja Sosial Perubatan, Unit Pathologi, Unit Pendidikan Kesihatan, Unit Diagnostik dan Pengimejan dan Unit Physiotherapi.

Manakala perkhidmatan bukan klinik seperti Unit Rekod Perubatan dan Unit Pentadbiran.

Pada 4 Februari lalu, tarikh janji temu enai untuk mengambil ubat di hospital.

Maka, selepas pulang bercuti Tahun Baharu Cina di Kuching, mereka berkunjung ke hospital ini pada keesokan harinya.

Yang pasti, amai enai akan berkunjung ke hospital ini dua kali setiap tiga bulan untuk mengambil ubat masingmasing.

Amai penghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi manakala enai pula penghidap tekanan darah tinggi.

Pada hari tersebut, saya sempat menghubungi enai untuk bertanya mengenai kesihatannya selain bertanya khabar.

Semasa berborak panjang, terdetik di hati saya untuk bertanya, di mana mereka pergi jika jatuh sakit ketika tinggal di kampung dulu?

Sebelum ini, keluarga saya menetap di kampung Long Apu, Baram.

Menurut enai, dulu Klinik Long San merupakan klinik kesihatan yang boleh dikatakan paling dekat dengan komuniti Orang Ulu di ulu Baram

Pernah suatu ketika, klinik itu hanya ada seorang pembantu perubatan (MA) dan seorang jururawat.

Walaupun hanya dua orang, kedua-duanya melayan pesakit yang datang dengan penuh dedikasi.

Menariknya, jururawat yang bekerja di klinik ini juga seorang biarawati (sister).

Ya, klinik ini turut dibantu oleh Gereja Long San. Dalam bahasa Kenyah, sister dipanggil kunyung manakala jururawat pula dipanggil misi.

“Aki masih nawai, misi yek keja kiti ngaran ie Sister Tipong met Long Tungan

. Masa aki nganak Pat, ie yek na’at aki teguk t… un se use ledo ngen ie,” kata ibu.

(Saya masih ingat, jururawat yang kerja di situ namanya Sister Tipong dari Long Tungan.

Semasa saya bersalin Pat (abang), dia yang menjadi bidan dan ada seorang pembantu perempuan dengan dia).

“Jade kunyung ni yek na’at sinen-sinen yek nemale met la’yei nai kiti ka?

Isen juga ie pasen medikal,” soal saya.

(Jadi, biarawati ini yang mengurus ibu-ibu yang mengandung yang datang dari kampung?

Tahu juga dia mengenai perubatan).

“Ya, kali kunyung Tipong un belajen pasen iti

. Pada pe un nai ke klinik ni nai na’at dulu sakit,” kata ibu lagi. (Ya, mungkin Sister Tipong ada belajar mengenai perubatan.

Paderi (Father) pun ada datang ke klinik ini untuk melawat orang sakit).

“Bok un kes dulu sakit muat, kum tuk de?” soal saya lagi. (Jika ada kes teruk, macam mana.)

“Klinik Long San ni alak kes yang simple tuak… bok un dulu sakit muat, ira menyuk kelunan ti tai ke Malude.

Kes bedah pe ira kini avek tai, munyuk tai ke Malude.

Deresa nek tabat biasa tuak,” jelas ibu.

(Klinik Long San hanya ambil kes yang mudah… jika ada yang sakit teruk, mereka akan suruh orang itu pergi Marudi.

Kes bedah pun mereka tidak akan buat, disuruh ke Marudi. MA hanya beri ubat biasa saja).

“Ke bei dulu met uma laruk diam ti?” soal saya lagi.

(Di mana orang kampung tinggal di sana?)

“Un uma sakai na nik klinik ti.. lue batang uma laruk, lue tingkat.

Setiap bilik un naran lebuk.

Contoh bok lebuk met Long Apu nai, ira akan diam ke bilik t.

Uma sakai ti kerajaan u’yei,”  kata ibu.

(Ada rumah sakai dibina berdekatan klinik itu.

Dua rumah panjang dua tingkat. Setiap bilik (rumah) ada nama kampung.

Contohnya jika orang dari Long Apu datang, mereka boleh tinggal di bilik itu.

Rumah sakai (tumpangan) itu dibina oleh kerajaan). Selari dengan arus pembangunan, pada 2019 klinik ini mempunyai pasukan petugas kesihatan termasuk doktor, tiga pembantu perubatan, empat jururawat, pemandu dan lain-lain.

Berdasarkan laporan media tahun tersebut juga, klinik ini melayani kira-kira 6,000 pesakit setiap tahun.

Ia menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat Baram memandangkan pusat itu terletak berhampiran dengan sekolah dan komuniti sekitar secara strategik.

Klinik itu memberi perkhidmatan kepada 75 rumah panjang Kenyah di Long San, 500 pelajar Sekolah Menengah (SMK) Long San, 300 pelajar Sekolah Rendah St Pius dan 25 kampung berhampiran.

Menurut laporan pejabat kesihatan, majoriti pelajar kedua-dua sekolah itu dirawat di klinik berkenaan.

Justeru, mendengar cerita ibu mengenai klinik kesihatan ini dan data yang diperoleh, Klinik Long San sangat berjasa kepada penduduk kampung dari Ulu Baram.

Ia memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan penduduk kampung bahkan hingga ke hari ini.

Nah, semoga usaha kerajaan untuk membina konsep klinik kesihatan komprehensif yang mempunyai katil untuk pesakit masuk ke Klinik Kesihatan Long terlaksana suatu hari nanti.

Ini kerana KKM menyasarkan untuk memenuhi keperluan setiap daerah yang mempunyai sekurang-kurangnya sebuah klinik kesihatan yang komprehensif kepada masyarakat.

Kesimpulannya, klinik dalam konteks kesihatan di negara ini, merujuk kepada sebuah fasiliti yang diwujudkan untuk merawat kes ringan ataupun pesakit luar.

Klinik juga merupakan tempat untuk rawatan susulan, rawatan berkala, pemantauan kesihatan, serta tempat untuk melakukan prosedur kesihatan yang ringkas. 

BERITA LAIN

NIDJI bawa mesej perpaduan

Kumpulan muzik rock alternatif Indonesia, Nidji, mahu menjadikan pentas muzik sebagai ruang untuk menyebarkan mesej positif bagi meredakan ketegangan dan perselisihan faham antara rakyat Malaysia

BERITA TERBARU