Dari saat kaki melangkah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, Taipei menyambut saya dengan gabungan suasana bandar raya moden dan kelembutan budaya Timur yang mengasyikkan.
Tiga hari di kota ini ternyata terlalu singkat untuk menyelami segalanya, namun cukup untuk meninggalkan kesan yang sukar dihapuskan daripada fi kiran dan jiwa.
Dari lapangan terbang, saya terus ke Muzium Istana Nasional Taipei.
Di muzium itu, saya disambut oleh suasana tenang yang dipenuhi warisan ribuan tahun.
Dinding-dindingnya dihiasi artifak Dinasti Ming dan Qing yang luar biasa, menjadikan saya seolah-olah mengembara ke masa silam.
Salah satu detik paling mengagumkan adalah ketika saya berdiri di hadapan Jadeite Cabbage, iaitu arca kobis daripada batu jed yang begitu halus sehingga kelihatan seperti sayuran sebenar. Ramai pelawat berhenti lama di situ, terpesona oleh keindahannya, termasuk saya.
Saya turut tertarik dengan lukisan tinta klasik dan skrol kaligrafi purba yang menceritakan kisah empayar lama dan falsafah Timur.
Setiap galeri seakan-akan menyimpan rahsia yang hanya terbuka kepada mereka yang benar-benar ingin memahami.
Pengalaman saya menjadi lebih bermakna apabila saya menyertai sesi panduan audio yang memberikan konteks dan cerita di sebalik setiap karya.
Muzium ini bukan sekadar tempat menyimpan sejarah, malah merupakan jambatan antara generasi.
Saya keluar dengan rasa kagum dan penuh hormat terhadap budaya serta warisan China yang kaya.
Lawatan ke Muzium Istana Nasional Taipei bukan sekadar pelancongan, tetapi pelajaran hidup yang tidak akan saya lupakan.
Lawatan saya ke Istana Lama Presiden di Taipei merupakan pengalaman yang penuh sejarah dan makna.
Bangunan megah dengan seni bina kolonial Jepun itu berdiri teguh sebagai simbol era pemerintahan awal Republik China di Taiwan.
Ketika saya melangkah masuk, saya dapat merasakan aura kebesaran dan kekuasaan masa lalu.
Di salah satu ruang utama, saya terpaku melihat patung Chiang Kai-shek, tokoh penting dalam sejarah moden China dan Taiwan.
Patung itu berdiri gagah, wajahnya serius, seolah-olah masih mengamati masa depan negara yang pernah dipimpinnya.
Di sekelilingnya terdapat artifak, foto lama, dan dokumen sejarah yang memaparkan perjalanan politik serta peranan beliau dalam membentuk Taiwan moden.
Saya turut menelusuri bilikbilik rasmi, termasuk pejabat presiden dan dewan mesyuarat yang masih terpelihara dengan rapi.
Setiap sudut membawa saya lebih dekat kepada zaman transisi dan perjuangan politik yang membentuk identiti Taiwan hari ini.
Saya berasa bertuah kerana berpeluang menyaksikan beberapa pegawai keselamatan berbaris keluar sekitar jam 5.00 petang.
Lawatan ini membuka mata saya tentang bagaimana sejarah dan kuasa diabadikan dalam ruang fi zikal.
Istana Lama Presiden bukan sekadar bangunan, malah merupakan saksi bisu kepada likuliku perjuangan sebuah negara.
Saya turut mengunjungi Ximending, kawasan beli-belah yang sering digelar sebagai Harajuku Taipei.
Lorong-lorongnya dipenuhi anak muda bergaya eksentrik, muzik jalanan yang rancak, dan deretan kedai yang menjual segalanya daripada fesyen terkini hinggalah makanan jalanan yang menggoda selera.
Inilah Taipei dalam bentuk paling hidup; ceria, sibuk, dan sentiasa bergerak serta menggelegak.
Tidak jauh dari situ, berdiri megah Taipei 101, bangunan yang pernah menjadi struktur tertinggi dunia.
Lif berkelajuan tinggi membawa saya ke dek pemerhatian dalam masa kurang daripada satu minit.
Dari tingkat 89, kota Taipei terbentang luas, dibingkai oleh gunung-gunung hijau di kejauhan.
Hiruk-pikuk jalanan kelihatan begitu kecil dan tenang dari atas sana.
Itulah satu peringatan tentang betapa luasnya dunia ini di luar rutin harian kita.
Saya mengakhiri hari pertama dengan menjelajah Pasar Malam Raohe.
Aromanya menyerang deria dari jauh; daging panggang, roti lada hitam, dan tentu sekali, stinky tofu yang terkenal.
Taipei bukan sekadar sebuah kota, tetapi pintu masuk ke landskap Taiwan yang lebih luas dan mempesona.
Pagi hari kedua, saya menaiki kereta api ke Ruifang sebelum meneruskan perjalanan ke Jiufen, sebuah perkampungan berbukit yang seakan-akan tercabut daripada halaman novel lama.
Dahulu pusat perlombongan emas, Jiufen hari ini memukau dengan lorong-lorong sempit yang berliku, rumah teh tradisional, dan pemandangan lautan yang menakjubkan dari ketinggian.
Saya menjelajah Old Street, mengunyah bebola ubi manis panas sambil melihat awan rendah melintasi bumbungbumbung kayu.
Bau teh oolong memenuhi udara, dan setiap langkah terasa seperti mengundur ke masa lalu.
Selepas makan tengah hari, saya bergerak ke Keelung, bandar pelabuhan yang terkenal dengan Pasar Malam Miaokou.
Di sinilah saya merasai makanan laut yang benar-benar segar; udang goreng, sotong panggang, dan ketam dengan sos mentega bawang putih.
Keelung istimewa bukan hanya kerana makanannya, tetapi juga suasananya yang lebih santai berbanding Taipei, namun tetap hidup dengan watak tersendiri.
Perjalanan pulang malam itu ditemani hujan gerimis, namun lampu-lampu jalanan yang berkilauan menjadikan suasana lebih syahdu, seperti babak terakhir dalam fi lem.
Pada hari kedua, saya menuju ke Tamsui, kawasan tepi laut yang popular dalam kalangan keluarga dan pasangan.
Deretan gerai di Tamsui Old Street menjual makanan ringan unik seperti ais krim keledek ungu, kek ikan, dan telur rebus herba.
Saya berjalan menyusuri pelantar kayu di tepi Sungai Tamsui, melihat matahari perlahan-lahan tenggelam di ufuk barat.
Angin laut membelai rambut, sementara kapal nelayan kecil berlabuh perlahan, mencipta suasana yang mengundang renungan dalam diam.
Dua setengah hari tentu tidak cukup untuk melihat seluruh Taipei, namun cukup untuk jatuh cinta padanya.
Ia adalah kota yang tahu bagaimana untuk menjadi moden tanpa melupakan akar budaya.
Ia tahu bila harus bising, dan bila harus diam. Setiap kawasan membawa cerita tersendiri, dari lampu neon Ximending ke keheningan Jiufen, dari wap panas Beitou ke angin laut Tamsui.
Penduduknya ramah, makanannya luar biasa, dan sistem pengangkutannya antara yang paling efi sien yang pernah saya gunakan.
Meninggalkan Taipei terasa seperti meninggalkan seorang teman baharu yang memahami anda tanpa perlu banyak bicara.
Kota ini bukan sahaja wajar dikunjungi, malah wajar dirindui.



