KUCHING: Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Jaul Samion mendahului senarai penerima darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Jadi Ke-83 Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Miri, hari ini.
Beliau dianugerahkan darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran Datuk Amar.
Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Setiausaha Kewangan Negeri Datuk Seri Ahmad Tarmizi Sulaiman dan bekas ahli Parlimen Serian yang juga yang pertama dari masyarakat Bidayuh Datuk Seri Dominic Andrew Dago @ Dogak Randan.
Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Machan Datuk Gramong Juna dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki menerima darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Bagi darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk menyaksikan lapan penerima iaitu Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Dr Abdul Rahman Ismail dan Menteri Muda Perindustrian dan PelaburanMalcom Mussen Lamoh.
Selain itu Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Pengerusi Shell Malaysia Datuk Lain John Lo, Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum Sarawak Berhad Sauu Kakok, Pengerusi Serba Dinamik Sdn Bhd Abdul Kadier Sahib dan Bishop Anglican Sarawak dan Brunei, Reverend Danald Jute.
Lima penerima darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran Datu pula terdiri daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Bakrie Zaini, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Chok Moi Soon, Presiden Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Antonio Kahti Galis, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Zaidi Mahdi dan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Hamden Mohammad.
Manakala 10 lagi individu menerima darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang juga membawa gelaran Datuk termasuk ADUN Muara Tuang Datuk Idris Buang dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Anugerah lain ialah pingat Johan Bintang Sarawak(Honorary) yang diterima Ahli Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Sarawak Ho Swee Huat dan enam lain menerima Johan Bintang Sarawak.
Selain itu Johan Bintang Kenyalang (10 penerima), Johan Perkhidmatan Cemerlang (2), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (Emas) (11), Pegawai Bintang Sarawak (Honorary) (1), Pegawai Bintang Sarawak (33), Pegawai Bintang Kenyalang (63) dan Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (141).
Pingat Perkhidmatan Bakti (Posthumous) (2), Ahli Bintang Sarawak (144), Ahli Bintang Kenyalang (86), Pingat Perkhidmatan Terpuji (Gangsa) (130) dan Bentara Bintang Sarawak (105).– BERNAMA