BINTANG rap ternama, Jay-Z kini secara rasmi menutup satu lagi bab dalam siri panjang dakwaan anak luar nikah terhadapnya.
Tiga bulan selepas Rymir Satterthwaite menarik balik saman persekutuan yang mendakwa penyanyi Empire State of Mind itu sebagai bapa kandungnya, mahkamah sekali lagi memihak kepada Jay-Z apabila kes yang difailkan oleh bekas penjaga sah Rymir turut digugurkan pada 4 November lalu oleh Mahkamah Daerah Pusat California.
Lillie Coley, yang menjadi penjaga sah kepada Rymir sejak 2011 selepas ibu kandungnya, Wanda Satterthwaite, meninggal dunia akibat penyakit, sebelum ini memfailkan saman terhadap pengasas Roc Nation itu pada Mei.
Beliau menuntut ganti rugi dan pampasan atas dakwaan bahawa Jay-Z menyebabkan tekanan emosi serta melakukan penipuan berkaitan siri penolakan kes terdahulu.
Antara dakwaan Coley termasuk tuduhan bahawa Jay-Z menyembunyikan bukti, menutup rekod dan memanipulasi fakta penting berkaitan kes yang pernah difailkan di New Jersey pada 2010.
Bagaimanapun, kes tersebut ditolak pada 2012 kerana difailkan di negeri yang salah.
Selepas beberapa siri rayuan dan permohonan untuk meminda dokumen pada September, mahkamah akhirnya berpihak kepada Jay-Z dalam keputusan bertarikh 4 November lalu.
Hakim menyatakan bahawa keputusan dibuat selepas meneliti semua dokumen tanpa perlu mendengar hujah lisan daripada mana-mana pihak.
“Mahkamah bersetuju bahawa kes ini boleh ditolak di bawah statut antiSLAPP California,” menurut perintah mahkamah yang dipetik daripada media antarabangsa.
Perintah itu turut menyatakan bahawa tuntutan Coley ditolak sepenuhnya tanpa kebenaran untuk dipinda semula.
Dengan keputusan ini, Coley tidak lagi boleh memfailkan semula saman terhadap penyanyi yang nama sebenarnya ialah Shawn Carter itu.
Rymir pula telah menarik balik saman paterniti persekutuan pada Julai lalu “dengan prejudis”, yang bermaksud dia juga tidak boleh mengemukakan semula tuntutan yang sama.
Keputusan ini menandakan satu lagi kemenangan undang-undang buat Jay-Z, yang sejak lebih sedekad menafikan sebarang kaitan biologi dengan Rymir.



