JBALB komited tangani isu tekanan air di Puncak Borneo

KUCHING: Masalah teknikal pada sistem agihan di kawasan seliaan Lembaga Air Kuching (LAK) dikenalpasti menjadi faktor utama masalah tekanan air yang membelenggu beberapa kampung di kawasan Puncak Borneo.
Menurut Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), keadaan itu menyebabkan jumlah air yang dibekalkan ke kawasan berkenaan berkurangan dan mengakibatkan bekalan air tidak dapat sampai ke kawasan yang tinggi.
“Walaupun kawasan-kawasan tersebut adalah di bawah seliaan JBALB tetapi sumber bekalan air adalah dari Stesen Pam Penggalak No.2 Batu 10 yang dikendalikan oleh LAK.
“Buat masa ini, JBALB dan LAK sedang berusaha untuk mencari punca dan penyelesaian kepada kemelut bekalan air ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kampung-kampung terjejas ialah Kpg Jambu, Kpg Karu, Kpg Sarig, Kpg Simpok, Kpg Tabuan Rabak, Kpg Sira, Kpg Gayu, Kpg Serumah, Kpg Krian, Kpg Peraya, Kpg Kawa Belimbing dan Kpg Belimbing Islam.
JBALB turut memberi jaminan akan komited menangani isu berkenaan dengan segera.
Justeru, pihaknya akan terus membuat penghantaran bekalan air menggunakan lori tanker ke kawasan-kawasan yang terjejas sehingga keadaan kembali pulih seperti biasa.
“Pihak kami berasa kesal di atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran yang tinggi daripada para pengguna,” katanya.