MUKAH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak kini menggunakan teknik pengeboman air bagi memadamkan kebakaran hutan berhampiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah, hari ini.


Ini susulan usaha pemadaman yang dijalankan selama lima hari gagal. Api yang semakin marak dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk padam.
Selain anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, anggota BBP Sibu turut turun padang bagi membantu operasi tersebut.
Menurut Timbalan Pengarah JBPM Sarawak Tiong Ling Hii, helikopter yang digunakan untuk operasi tersebut diterbangkan dari pangkalan Unit Udara JBPM di Miri dan mendarat di padang UiTM Mukah, petang tadi.
“Setelah selesai menyiapkan ‘bucket’ helikopter, operasi terus dijalankan,” katanya.
Operasi pemadaman sebelum ini menggunakan sumber air terbuka dan dibantu pekerja ladang dan penduduk kampung.
Kebakaran ini juga telah menjejaskan kualiti udara di Mukah sehingga menyebabkan kawasan berhampiran mengalami jerebu.


