ARTIKEL

K9... Max dan Cooper bersama pengendali mereka, PBK I Maxwell Joe (kanan) dan PBK I Peter Huang.

JBPM Sarawak terima dua anjing K9 baharu, Max dan Cooper

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memperkukuh peranan Unit Anjing Pengesan K9 sebagai aset sokongan utama dalam pelbagai operasi keselamatan melalui penerimaan anjing pengesan baharu dari United Kingdom, hari ini.

Dinamakan Max dan Cooper, kedua-dua anjing baka English Springer Spaniel bukan sekadar penambahan aset, malah dianggap sebagai pengganti strategik kepada anjing K9 terdahulu dalam memastikan kesinambungan kecekapan operasi di lapangan.

K9… Max dan Cooper bersama pengendali mereka, PBK I Maxwell Joe (kanan) dan PBK I Peter Huang.

Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata Max yang berusia lebih setahun dan Cooper berumur dua tahun memiliki potensi tinggi untuk digilap sebagai anjing pengesan mangsa, khususnya dalam situasi runtuhan dan pencarian di kawasan sukar.

“Ketibaan mereka tepat pada masanya bagi memastikan kesiapsiagaan Unit K9 sentiasa berada pada tahap terbaik.

Jamri Masran bersama Max dan Cooper yang baharu diterima Unit K9 JBPM Sarawak.

“Kita harap kedua-duanya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran di Sarawak,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Bomba Sarawak, sebentar tadi.

Menurut beliau, sebelum ditugaskan secara rasmi, Max dan Cooper perlu melalui tempoh kuarantin selama 14 hari di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian sebagai langkah pemantauan kesihatan serta penyesuaian awal terhadap iklim dan persekitaran operasi tempatan.

Jamri Masran bersama Max dan Cooper yang baharu diterima Unit K9 JBPM Sarawak.

Sepanjang tempoh itu, latihan asas turut akan dilaksanakan secara berperingkat bagi membina keserasian antara anjing dan pengendali masing-masing, iaitu PBK I Maxwell Joe Richard Sampa dan PBK I Peter Huang.

Penambahan dua aset K9 ini merupakan pelaburan penting dalam memperkukuh keupayaan respons JBPM Sarawak, terutama dalam menghadapi insiden berisiko tinggi yang memerlukan ketepatan deria dan kepantasan tindakan di lokasi kejadian.

Dalam perkembangan berkaitan, Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dijangka menerima 16 anjing baharu dari United Kingdom tahun ini dengan kos RM2.4 juta bagi memperkukuh 20 anjing sedia ada.

Ketua Pengarah JBPM, Nor Hisham Mohammad berkata sebahagian anjing sedia ada kini berusia lebih 12 tahun, melebihi tempoh ideal antara lapan hingga 10 tahun.

“Pemilihan awal melibatkan 20 anjing telah dibuat dan akan ditapis kepada 16 ekor, dengan proses dijangka mengambil masa tiga bulan.

“Anjing K9 dilatih dalam empat bidang utama termasuk operasi mencari dan menyelamat, forensik kebakaran serta pengesanan mayat di air, dengan sebahagian latihan akan dijalankan di dalam negara,” katanya.

Anjing baka English Springer Spaniel yang digunakan oleh unit K9 bomba lazimnya dilatih untuk mengesan mangsa yang masih hidup dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Secara khusus, anjing ini mahir mengesan bau manusia yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan, mencari mangsa hilang di hutan atau kawasan semak serta dalam situasi bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

Mereka juga berupaya mengesan mangsa yang masih hidup walaupun berada dalam keadaan sukar atau tertutup.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU