ARTIKEL

Pemain JDT Eddy Israfiloz (kanan) mengawal ketat pemain Chelsea FC Reggie Watson (kiri) pada perlawanan persahabatan antarabangsa antara JDT dan Chelsea FC di Stadium Sultan Ibrahim. | Bernama

JDT Chelsea sama kuat di SSI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ISKANDAR PUTERI: Juara dunia Kelab FIFA, Chelsea dan Johor Darul Ta’zim (JDT) terikat 3-3 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di sini, semalam.

Perlawanan yang disaksikan lebih 28,000 penonton itu menyaksikan tuan rumah bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi pemain sayapnya, Arif Aiman Mohd Hanapi, yang bijak menolak masuk hantaran Marcus Guilherme pada minit ke-14.

Chelsea kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-43 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerangnya, Liam Delap, selepas beliau dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Skuad kendalian Xabi Alonso hampir mendahului pada penghujung babak pertama, namun Delap gagal memanfaatkan peluang keemasan ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi, apabila percubaannya sedikit tersasar.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha memburu gol untuk kembali mendahului perlawanan.

The Blues sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-60 selepas pemainnya dijatuhkan di dalam kotak penalti, sebelum Delap tenang menyempurnakan sepakan itu dua minit kemudian untuk meletakkan Chelsea di hadapan.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila JDT kembali menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi sepakan percuma Oscar Aribas.

Harimau Selatan kembali memimpin perlawanan menerusi jaringan Bergson Da Silva pada minit ke-85.

Ketika perlawanan seolah-olah memihak kepada tuan rumah, pertahanan JDT, Christian Glauder, melakukan kesilapan sehingga menjaringkan gol sendiri untuk membolehkan Chelsea menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Aksi itu merupakan perlawanan terakhir Chelsea dalam Jelajah Pra-Musim di Asia. Pasukan itu akan kembali ke Stamford Bridge untuk menentang Real Sociedad pada 15 Ogos.

Chelsea kemudian akan membuka kempen Liga Perdana Inggeris menentang seteru setempat, Fulham, di tempat lawan pada 25 Ogos.

BERITA LAIN

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan

BERITA TERBARU

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke