IMPIAN untuk menjejak lokasi-lokasi fi lem dan animasi terkenal kini menjadi kenyataan bagi dua hos popular, Jiggy Masin dan Royce Ikram, menerusi program travelog baharu RTM, Lensa Jepun: Dari Skrin Ke Realiti.
Program 13 episod ini bersiaran setiap Selasa, jam 12.00 tengahari di saluran Okey dan RTMKlik.
Ia membawa penonton merasai pengalaman eksklusif jelajah Jepun melalui lensa hiburan dan budaya pop.
Dalam pengembaraan mereka, Jiggy dan Royce menjejak lokasi penggambaran fi lem dan animasi yang menghiburkan generasi penonton.
Antara karya terkenal yang diterokai ialah Godzilla, Ultraman, Crayon Shin-chan, The Wolverine, Sailor Moon, Doraemon, Memoirs of a Geisha, G.I. Joe: Snake Eyes, Fate/Stay Night dan James Bond: You Only Live Twice.
Pengembaraan mereka bermula di Himeji Castle, Hyogo, istana bersejarah yang pernah menjadi latar filem James Bond.
Seterusnya, mereka menuju ke Awaji Island, Kobe, untuk mencuba pengalaman di Godzilla Interception Operation Awaji, tarikan di Taman Tema Nijigen No Mori yang menampilkan replika Godzilla berskala sebenar.
Lawatan mereka berakhir dengan panorama menakjubkan bandar Kobe dari Kobe Tower, merakamkan keindahan bandar pelabuhan yang menggabungkan unsur moden dan sejarah.
Di Tokyo, mereka turut menyelusuri jejak Godzilla sambil meneroka sisi bandar yang jarang diketahui pelancong, termasuk bermalam di kapsul hotel yang minimalis tetapi unik
. Mereka juga menjejak fi gura Ultraman di Setagaya dan mengunjungi Ultraman Street, kawasan penuh nostalgia dengan memorabilia wira ikonik Jepun.
Perjalanan seni digital mereka diteruskan di TeamLab Planets, ruang futuristik yang menawarkan pengalaman interaktif melalui seni digital.
Di Kasukabe, Saitama, mereka mengunjungi rumah watak Toru Kazama dan Shin-chan daripada siri Crayon Shin-chan, manakala di Minato City, Tokyo, mereka menjejak lokasi penggambaran fi lem The Wolverine di Zojoji Temple.
Aktiviti santai turut dilakukan termasuk memancing di Wakasu Camping Park dan menikmati hidangan laut segar di Tsukiji Market.
Lawatan ke Azabujuban, lokasi ikonik Sailor Moon, serta muzium dan istana di Osaka menambah warna pengembaraan mereka.
Momen unik turut tercipta apabila mereka singgah di Masjid Kobe, masjid pertama di Jepun untuk menunaikan solat dan menemu ramah imam mengenai kehidupan komuniti Muslim di sana.
Dari hero klasik ke seni moden, dari filem ke animasi, Lensa Jepun: Dari Skrin Ke Realiti menawarkan pengalaman yang memukau dan dekat di hati penonton Malaysia, membuktikan Jepun bukan sekadar destinasi, tetapi juga sebuah dunia penuh cerita dan inspirasi.






