HANOI: Pameran seni bergerak yang menghimpunkan hasil kreativiti pelukis dari China dan negara-negara ASEAN kini sedang berlangsung di Hanoi sejak Ahad lalu. Acara ini memberi ruang kepada orang ramai untuk menghayati keunikan tradisi seni serta persamaan nilai budaya yang dikongsi bersama di rantau ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Pameran ini merupakan hasil kolaborasi antara Persatuan Seni Halus Vietnam, Universiti Seni Guangxi China dan Sekolah Lukisan Lijiang Guangxi. Ia menampilkan lebih daripada 90 buah lukisan terpilih yang membawakan pelbagai tema menarik, seperti keindahan alam semula jadi, flora dan fauna serta lukisan potret.
Kesemua hasil rupa yang dipamerkan bukan sahaja mengangkat keindahan alam dan aktiviti harian masyarakat, malah turut menterjemahkan gabungan elemen warisan, suntikan inovasi, serta daya kreativiti dalam dunia seni halus antara Vietnam dan China.
Mengetengahkan bahawa Vietnam dan China berkongsi hubungan budaya dan sejarah yang telah lama terjalin, Profesor Dr Do Hong Quan, Presiden Gabungan Persatuan Kesusasteraan dan Kesenian Vietnam, menyatakan bahawa pameran itu diwujudkan berdasarkan kejayaan program pertukaran muzik yang diadakan pada 2025 antara Universiti Seni Guangxi dan Persatuan Pemuzik Vietnam, yang menampilkan lapan karya simfoni di bawah tema ‘Persahabatan Abadi’.
Pameran itu sebelum ini dianjurkan di Malaysia, Thailand dan Laos dan akan berlangsung di Hanoi hingga 29 Jun.
-Bernama-VNA



