ARTIKEL

Jeli Bohari Biha: Figura Sastera dan Nakhoda Putera yang Berwibawa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

(Bahagian 1)

Oleh: Zainal Abidin Suhaili (Abizai)

JELI BOHARI BIHA atau nama penanya JB Bihar merupakan penyair yang tumbuh mekar dan mula bersinar pada awal tahun 1970-an.

Namanya sebaris dengan penyair-penyair lain yang sedang menempa nama dalam dunia penulisan puisi Sarawak ketika itu seperti Adi Badiozaman Tuah, Saie Driss, Benedict Talib, Zaini Ozea, Mohd Esmawy Husly dan lain-lain lagi.

Puisinya berjudul “Untuk Nurliza” pernah mendapat tempat dalam majalah sastera tersohor, Dewan Sastera seawal tahun 1971.

Selain daripada menulis puisi, Jeli Bohari Biha juga menulis cerpen, skrip drama dan esei.

Karya-karyanya pernah mendapat tempat dalam pelbagai akhbar dan majalah tempatan dan kebangsaan di samping beberapa antologi puisi, cerpen dan esei bersama para penulis lain.

Kumpulan puisi pertamanya, Suara Merdeka pernah diterbitkan oleh Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) pada tahun 2020.

Beliau juga pernah menyelenggarakan dua buah antologi puisi, iaitu Puisi-puisi PUTERA (PUTERA, 1980) dan Dongeng Kembara (PUTERA, 1990).

Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Penulis Sarawak dalam genre cerpen pada tahun 1994 melalui cerpennya, “Pesta Kaul” dan menerima Hadiah Penggiat Sastera Negeri Sarawak 1998 daripada Kerajaan Sarawak.

Pada tahun 2023 pula, beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak oleh Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Antara puisi beliau yang sering diingati suatu ketika dahulu apabila tiba musim pilihan raya ialah “Pesta untuk Dewa-dewa” (Suara Merdeka, 2000: 8).

Sajak ini membicarakan tentang janji-janji orang politik (dewa-dewa) secara simbolik dan sinis:

Datanglah dewa-dewa

dengan janji dan harapan

daerah sepi ini mesti diberi nafas baru.

Anak-anak peribumi

yang mesra dan ketawa

Berpesta sepanjang tiba dewa-dewa.

Ayam belum tua

kambing dara

dan lembu betina

tertiarap ke bumi

persembahan untuk dewa-dewa.

Senyum dewa-dewa

Harapan pada semua.

Pesta berakhir

pulanglah dewa-dewa

mengejar bintang-bintang.

Daerah sepi masim suram

kerut petani kian bertambah.

Akan datang lagikah dewa-dewa

membawa:

 janji

harapan

dan ketawa?              

Nama Jeli Bohari Biha tidak wajar dikesampingkan jika membicarakan tentang perkembangan persatuan penulis di Bumi Kenyalang.

Beliau ialah pengasas utama dan orang yang paling penting dalam mengilhamkan dan merealisasikan kelahiran Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA).

PUTERA merupakan persatuan penulis di Sarawak yang paling lama bertahan kewujudannya sehingga kini.

Dilahirkan pada tanggal keramat 7 Jun 1979 di Miri, Sarawak, ia lahir daripada gejolak kesedaran dan keazaman para karyawan dan peminat sastera tempatan tentang perlunya wujud sebuah badan penulis yang bakal menjadi pusat bagi penggemblengan tenaga dan minda dalam merancang dan melaksanakan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan di wilayah utara, Bumi Kenyalang.

Penubuhannya juga untuk memastikan agar kegiatan sastera tidak hanya tertumpu di Bahagian Kuching sahaja, tetapi turut rancak diadakan di bahagian-bahagian lain, terutama di Miri.

Daripada pengalaman berharga ketika bersama Persatuan Bahasa dan Sastera Sarawak (PEBAS) di Kuching, beliau pun mula menghimpunkan beberapa orang penulis dan peminat sastera setempat untuk duduk semeja dalam usaha untuk menubuhkan sebuah persatuan penulis.

Mesyuarat penubuhannya berlangsung pada 7 Julai 1979 di Kelab Shell, Lutong. PUTERA didaftarkan secara rasmi pada 4 April 1980 dengan nombor pendaftaran: 45/80 (PPM-002-13-04041980).

Ketua I yang pertama ialah Abu Bakar Matasan dan Setiausaha I pula disandang oleh Jeli Bohari Biha sendiri.

Sepanjang perkhidmatannya sebagai Setiausaha I dan kemudiannya Ketua I, PUTERA, beliau memimpin pelbagai kegiatan yang menjadi asas kepada perkembangan dunia sastera di Miri dan Sarawak.

PUTERA ketika itu bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS), Pustaka Negeri Sarawak, Miri, Radio Televisyen Malaysia, Majlis Bandar Miri, Institut Perguruan Guru, Miri dan agensi-agensi lain telah berjaya menganjur dan menyelenggarakan beberapa aktiviti bercorak bahasa dan sastera pada peringkat tempatan, negeri, kebangsaan dan serantau. 

Antara yang penting ialah Seminar Penulisan Kreatif (1980), Manifestasi Budaya Sarawak (1980), Kursus Pengenalan kepada Kritikan Sastera (1984), Bengkel Penulisan Cerpen dan Cerita Kanak-kanak (1985), Rancangan Sastera di Udara (1986), Dialog Borneo I (1987), Forum PUTERA (1987), Bengkel Asas Penulisan Berita (1989), Perkampungan Puisi Kenyalang I (1989), Malam Puisi Miri 1 (1990), Malam Puisi Miri II (1991) Persembahan Bangsawan Panji Asmara (1993), Randau Bersama Sasterawan Negara, A. Samad Said (1993), Malam Puisi Miri (1995), Perkampungan Penulis Sarawak (1996), Simposium Penulis Pelbagai Kaum I (1999), Kursus Penulisan Rencana (1999), Kembara Sastera Nusantara (2001), Malam Mesra Sastera Nusantara (2001), Perkampungan Penulis Sarawak 3 (2002), dan Bengkel Penulisan Puisi dan Cerpen (2002).

Jeli Bohari juga memainkan peranan utama dalam usaha PUTERA untuk menganggotai Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Akhirnya, PUTERA telah diterima sebagai ahli badan kerabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) pada tahun 1999.

Sejak itu, PUTERA sering terlibat dalam kegiatan-kegiatan anjuran GAPENA seperti Dialog Borneo Kalimantan, Dialog Teluk Brunei, Simposium Penulis Pelbagai Kaum, Perkampungan Penulis GAPENA, Kembara Sastera Nusantara dan lain-lain lagi.

Menurut Jeli Bohari Biha, minatnya terhadap dunia penulisan sastera mula berputik di sekolah menengah di SMK Three Rivers, Mukah.

Minat ini didorong oleh seorang guru Bahasa Melayu, cikgu Mohd Ali Suhaili yang sangat menggalakkan pelajarnya meneroka bidang penulisan kreatif seperti berpantun dan menulis cerpen atau puisi.

Antara karya penulis Malaysia yang banyak dibaca oleh beliau ketika itu ialah karya Abdullah Sidek, seorang penulis dari Johor. Penulis tersebut banyak mempengaruhi minat dan pendekatannya dalam berkarya.

Jeli Bohari Biha amat meminati bidang penulisan puisi. Minat tersebut diteruskan ketika beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ilmu Khas di Kuala Lumpur (1970-1971).

Semasa di sana, beliau banyak membaca puisi SN Usman Awang, Latif Mohidin, Kemala dan esei kritikan Baha Zain. Beliau juga sering menghadiri ceramah sastera yang diadakan di DBP, Kuala Lumpur dan tempat lain-lain.

Bergaul dengan penulis dan pengkritik yang jauh lebih awal meneroka dunia sastera di Kuala Lumpur telah banyak membentuk pemikiran beliau menjadi lebih kritis dan sensitif terhadap sesuatu yang dilihat dan didengar. 

Menjadi lebih peka terhadap pergolakan di persekitaran termasuk tingkah laku dan sikap manusia, juga tentang susah senang mereka.

Hal ini mendorong beliau mula menzahirkan ekspresi emosi dan pemikiran dalam bahasa yang kreatif, imaginatif dan progresif.

Menyentuh tentang pegangan dan prinsip dalam berkarya pula, Jeli Bohari Biha menegaskan bahawa setiap karya perlu lahir daripada tajam-fikir penulis/penyair ketika melakar-rakam kesedaran, cita rasa dan implisit tentang kewujudan dan persekitaran yang ingin dikongsikan dengan masyarakat pembaca.

Dengan demikian, setiap karya berupaya mengajak pembaca turut merasai gelora yang mendasari penciptaannya.

Tanpa hal tersebut, karya yang dicipta akan gagal mendukung falsafah atau pegangan yang mahu diketengahkan.

Beliau turut berpendapat bahawa kematangan berpuisi menyerlah apabila seorang penyair menyedari bahawa puisi bukan sekadar luahan emosi, kritikan atau rakaman peristiwa semata-mata.

Segalanya perlu dicanai dari pelbagai perspektif sehingga bertemu logika, rasionalisasi serta inspirasi ‘luar kotak’.

Hal ini boleh menambat rasa pembaca untuk turut menyelami cita rasa dan implisit penyair.

Karya menjadi indah didengar dan cepat ditanggapi mesejnya jika ia turut ditemani suara/bunyi, imejan dan bentuk yang diselitkan oleh penyair melalui elemen-elemen seperti personifikasi, metafora, alegori, aliterasi dan asonansi.

Semua ini perlu terpancar dalam benak penyair ketika menghasilkan karyanya.

Meskipun puisi pada dasarnya merupakan ekspresi emosi dan luahan idea, namun tujuannya tidaklah terhad di situ sahaja.

Bagi Jeli Bohari Biha, penyair perlu menyampaikan cerita atau memberi pengajaran, di samping menyelitkan mesej tersembunyi melalui karyanya.

Bagaikan seorang tukang ukir, penyair menghidupkan karyanya melalui bentuk, suara/bunyi dan imejan supaya apa yang dilihat, dirasai dalam jiwanya dan terlintas dalam fikirannya dapat dirasai juga oleh para pembaca.

Ketika mengulas tentang ciri-ciri sebuah puisi yang mampu bertahan merentas zaman dan terus memberikan makna kepada masyarakat pula, Jeli Bohari Biha berpendapat bahawa keupayaan sesebuah puisi untuk hidup melintasi zaman kelahirannya tidak bersandar pada acuan formalisme yang kaku.

Sama ada sebuah pantun tradisional yang terikat atau sajak bebas yang eksperimental.

Sebaliknya, keabadian sesebuah puisi terletak pada dua buah tiang utama, iaitu kelenturan makna dan kejujuran manusiawi (humanisme sejagat).

Bagi beliau, puisi yang merentas zaman ialah sebuah karya yang tidak mendikte (mengongkong) pembaca kepada satu makna atau jawapan yang mutlak.

Ia wajar memiliki ruang tafsiran yang terbuka dan organik.

Hal ini tepat kerana sejarah dan landskap sosial dan politik mungkin berubah.

Masyarakat hari ini tidak lagi hidup dalam masyarakat agraris abad lampau, mahupun era pramerdeka yang sarat dengan gelora politik.

Namun, metafora yang berlapis dalam puisi yang hebat membolehkan manusia era digital hari ini memprojeksi refleksi dan kecamukan jiwa mereka ke dalam konteks yang sama.

Beliau memberikan contoh pantun tradisional yang sangat dikenali.

Pantun empat kerat yang ringkas tetapi mampu menggalas falsafah hidup yang berat:

Pisang emas dibawa belayar

Masak sebiji di atas peti

Hutang emas boleh dibayar

Hutang budi dibawa mati

Menurut beliau lagi, pada permukaannya, pantun ini menggunakan simbol harian yang sangat asas.

Pisang emas dan peti. Tiada teknologi canggih atau bahasa falsafah yang meleret.

Namun, ia kekal relevan hari ini kerana ia membicarakan tentang keadaan kemanusiaan (human condition) yang universal, iaitu hutang moral dan harga diri sesama insan.

Nilai ‘budi’ ini tidak terikat pada tarikh dan tidak luput ditelan zaman.

Selain kelenturan makna, Jeli Bohari Biha turut menekankan pentingnya kejujuran dalam penciptaan puisi.

Baginya, puisi yang lestari bertindak sebagai jambatan empati yang dibina atas paksi kejujuran.

Ia tidak ditulis demi memenuhi selera semasa, propaganda murahan atau kecenderungan estetika yang bermusim.

Karya yang bertahan ialah karya yang berani melihat manusia seadanya, dengan segala kelemahan dan kelebihannya. Dalam konteks ini, Jeli melihat karya Sasterawan Negara Usman Awang sebagai salah satu contoh penting.

Dalam puisi “Kekasih”, Usman Awang mengungkapkan:

Aku tidak menolakmu dari kenyataan

           juga tidak meletakkanmu di awan-awan,

           tetapi sewajarnya seorang manusia

           dengan kelemahan dan kelebihan yang ada.

Menurut Jeli Bohari Biha, rangkap ini melepasi batas waktu kerana ia menolak prejudis romantis yang membutakan.

Dalam dunia kontemporari yang sering kali terperangkap dalam polarisasi pemikiran dan penghakiman lateral di media sosial, suara Usman Awang ini kembali sebagai penawar.

Ia mengingatkan tentang erti penerimaan dan empati kemanusiaan yang inklusif. Satu keperluan yang sangat mendesak buat masyarakat kontemporari.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU