BINTULU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengambil tindakan tegas dan drastik ke atas agensi pelancongan yang gagal mematuhi syarat pelesenan, susulan insiden membabitkan 36 jemaah umrah yang terkandas di Madinah akibat kegagalan sebuah agensi menyediakan penginapan serta tiket penerbangan pulang seperti dijanjikan.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata kejadian tersebut sekali lagi membuktikan keperluan mendesak untuk mewajibkan pelaksanaan mekanisme jaminan bank (Bank Guarantee) sebagai syarat utama pelesenan agensi pelancongan, khususnya pengendali pakej umrah.
“Insiden yang berlaku ini jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan jaminan bank bukan sahaja wajar, malah semakin mendesak demi melindungi kebajikan jemaah dan pengguna daripada pengusaha yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, semalam.
Menurut beliau, kesemua jemaah terbabit termasuk warga emas dan kanak-kanak telah membuat bayaran penuh sebanyak RM7,600 seorang, namun terpaksa berdepan tekanan kewangan serta emosi apabila agensi berkenaan mengabaikan tanggungjawab asas sehingga mereka terpaksa mendapatkan bantuan derma bagi membeli tiket pulang ke tanah air.
Beliau berkata, langkah mewajibkan jaminan bank akan memastikan wang jemaah sentiasa dilindungi serta membolehkan pampasan disalurkan tanpa kelewatan sekiranya berlaku penipuan, kecuaian atau kegagalan agensi pelancongan.
“Ini bukan beban kepada pengusaha yang jujur, sebaliknya satu langkah tegas untuk membina ekosistem industri pelancongan yang selamat, profesional dan boleh dipercayai, selain mengembalikan keyakinan rakyat dengan industri umrah negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan laporan tentang insiden itu diterima MOTAC melalui Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan kesemua jemaah terlibat telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada 6 Januari lalu.
Sementara itu, hasil siasatan awal mendapati premis syarikat terbabit tidak lagi beroperasi dan terdapat beberapa pelanggaran serius di bawah Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992.
Sehubungan itu, MOTAC menjalankan penggeledahan, merakam percakapan pihak syarikat serta jemaah terlibat dan membuka kertas siasatan.
“Kertas syor pembatalan lesen syarikat kini sedang dimuktamadkan untuk pertimbangan pengurusan tertinggi MOTAC,” katanya.
Tiong turut menasihati orang ramai supaya sentiasa menyemak status lesen agensi pelancongan sebelum membuat sebarang bayaran serta melaporkan segera sebarang penyelewengan kepada pihak berkuasa.



