KOTA KINABALU: Jenazah tiga anggota polis yang maut akibat renjatan elektrik di Beaufort pada Khamis dihantar pulang malam tadi menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pesawat TUDM membawa jenazah Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 7.10 malam menuju Pangkalan Udara TUDM di Kuantan, Pahang sebelum meneruskan penerbangan ke Pangkalan Udara TUDM Gong Kedak, Terengganu.
Jenazah Koperal Chiu Teck Siong pula dibawa ke Lapangan Terbang PGU PDRM di sini sebelum diterbangkan ke Sarawak menggunakan pesawat pasukan berkenaan seperti dilapor Bernama.
Ketiga-tiga jenazah selesai menjalani bedah siasat pada 12 tengah hari sebelum dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth kira-kira 2.56 petang bagi urusan penghantaran pulang ke kampung halaman masing-masing.
Chiu, 40, berasal dari Sarawak, Mohamad Nur Hafiz, 29, dari Kelantan dan Muhammad Raimi, 26, dari Terengganu, meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di luar Balai Polis Weston, Beaufort pada 5.50 petang pada Khamis



