KUCHING: Ari Putera Matnor, 42, sepupu kepada Yoga Anggiska, 26, memberitahu Wartawan Suara Sarawak, jasad arwah yang tertimbus di Gunung Tabai pada 13 Ogos lepas, diterima pihak keluarga di Desa Batu Gantih di Kerinci, Jambi, Sumatera pada 4.30 petang, Isnin, hari ini.

Sebelum ini, wartawan juga diberitahu oleh sepupu arwah Yoga, Jen Anthony, 35, dan adik arwah bernama Peri Rahmayadi, 16, yang menginap di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching untuk melakukan ujian padanan DNA, bahawa laporan keputusan ujian DNA Yoga didapati positif pada Khamis minggu lepas.
Sumber dari Ketua Syarikat Buruh Migran Indonesia (SBMI) Jambi memberitahu jenazah dipulangkan dengan biaya sendiri keluarga melalui pesawat dari Pontianak-Jakarta-Minangkabau.
Dari Padang, jenazah dihantar dengan ambulans ke rumah arwah di Desa Batu Gantih, Kerinci.
“Masa jenazah Yoga sampai di rumah, mamanya Yoga langsung pengsan,” tulis Ari melalui mesejnya kepada wartawan sebentar tadi.
Menurut Ari, ibu Yoga bernama Wida, 48, ketika ini tidak mampu berkata apa-apa dan sukar dibawa bercakap.
Menurut Ari, pihak keluarga bersetuju mengebumikan jenazah arwah pada esok 8 pagi, Selasa.
Yoga Anggiska dilaporkan hilang di Gunung Tabai pada 13 Ogos lepas.
Pada petang Khamis, 26 Ogos, jasad arwah Yoga berjaya dikeluarkan dari Gunung Tabai pada kedalaman 90 meter ke perut gua.
Jasad Yoga kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Bau untuk melakukan proses pengecaman.
Jasad tersebut dipindahkan ke Hospital Besar Sarawak untuk padanan ujian DNA.


